fb fb fb fb fb

G-DRAGON gegarkan Kuala Lumpur dalam konsert [übermensch]

Lebih 20,000 peminat dari seluruh Malaysia dan negara jiran hadir menyaksikan konsert mega G-DRAGON 2025 WORLD TOUR [Übermensch] in Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 21 Julai –Axiata Arena Bukit Jalil bergema dua malam berturut-turut apabila ikon global K-pop, G-DRAGON, kembali menyinari pentas menerusi konsert mega G-DRAGON 2025 WORLD TOUR [Übermensch] in Kuala Lumpur, pada 19 dan 20 Julai lalu.

Lebih 20,000 peminat dari seluruh Malaysia dan negara jiran hadir membanjiri arena bagi menyaksikan persembahan yang bukan sekadar konsert tetapi sebuah pengalaman seni total yang menggabungkan muzik, fesyen, visual dan emosi dalam satu produksi megastruktur.

Pembukaan menggegarkan, seawal lampu stadium dipadamkan, arena bergema dengan sorakan apabila G-DRAGON muncul penuh aura membuka tirai dengan lagu “Power”, sekali gus membakar semangat penonton sejak awal.

Setlist malam itu menampilkan gabungan lagu lama dan baharu, antaranya “Crooked,” “Crayon,” “Heartbreaker,” “One of a Kind,” “TOO BAD” dan “DRAMA”.

Segala aspek produksi dipersembahkan pada tahap tertinggi. Reka bentuk pentas futuristik, efek visual dan pencahayaan imersif mencipta suasana luar biasa sebuah pertunjukan pelbagai deria yang tiada tandingan.

Tidak ketinggalan, penampilan fesyen G-DRAGON turut mencuri tumpuan. Setiap pertukaran busana mencerminkan gaya eksentrik dan berani beliau.

Salah satu detik paling menyentuh hati hadir ketika lagu “Untitled, 2014” dilantunkan. Arena bertukar menjadi lautan cahaya, dan ribuan peminat menyanyi bersama dengan penuh emosi ada yang mengalirkan air mata, terharu dengan momen penuh makna itu.

Konsert ini bukan sahaja meraikan muzik, tetapi menjadi pertemuan semula penuh makna antara G-DRAGON dan peminat Malaysia.

Ketika lagu terakhir berakhir dan lampu perlahan-lahan dipadam, G-DRAGON berdiri dalam diam membiarkan detik itu berbicara sendiri.

TETITIA YUSOFF