fb fb fb fb fb

Feby Putri kembali gegar KL dengan konsert emosi “Hitam Putih”

Penyanyi dan penulis lagu terkenal Indonesia, Feby Putri kembali mengubat rindu peminat menerusi konsert eksklusif “Feby Putri Vol. 3: Hitam Putih Live in Kuala Lumpur” di Zepp Kuala Lumpur malam tadi

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Genap setahun selepas penampilan terakhirnya di Malaysia, penyanyi dan penulis lagu terkenal Indonesia, Feby Putri kembali mengubat rindu peminat menerusi konsert eksklusif “Feby Putri Vol. 3: Hitam Putih Live in Kuala Lumpur” yang berlangsung penuh emosi di Zepp Kuala Lumpur malam tadi.

Sekitar 2,000 peminat hadir menyaksikan persembahan memukau penyanyi berusia 23 tahun itu yang membawakan lagu-lagu hits dari album sulungnya “RIUH” serta karya terbaharu daripada album keduanya, “Hitam Putih”.

Konsert yang berkonsepkan Hitam Putih itu dilihat sarat dengan elemen penceritaan jujur dan puitis, menggambarkan perjalanan hidup Feby sebagai seorang perantau yang menempuh suka duka, pahit manis kehidupan – diterjemahkan dalam bentuk muzik dan lirik penuh jiwa.

Dalam sidang media sebelum konsert bermula, Feby meluahkan rasa teruja kerana berpeluang membawakan lagu-lagu terbaharu secara langsung di Malaysia.

“Yang pasti aku bawakan lagu-lagu terbaru dari album Hitam Putih. Kebetulan pula setiap kali aku datang ke Malaysia, momen itu selalu bertepatan dengan pelancaran lagu baru. Jadi ini peluang yang indah untuk aku persembahkan karya baru secara langsung,” ujarnya.

2007PORTAL KONSERT FEBY PUTRI 2Feby Putri

Salah satu momen paling menyentuh perasaan sepanjang konsert berlangsung ialah ketika Feby berkongsi cabaran emosinya dalam menghasilkan sebuah lagu khas buat arwah ibunya.

“Salah satu lagu dalam album ini aku tulis untuk ibu. Lirik dan muziknya aku cipta ketika ibu masih ada. Tapi semasa proses rakaman vokal, beliau telah pergi. Itu cabaran paling besar, sebab aku harus teruskan proses rakaman walaupun hati sangat berat. Tapi aku harus kuat,” katanya dengan nada sebak.

Mengulas mesej keseluruhan album dan konsertnya, Feby menjelaskan bahawa Hitam Putih menggambarkan kehidupan secara realistik – ada sisi gelap dan cerah yang perlu dilalui setiap insan.

“Kehidupan ini ada hitam dan ada putihnya. Akan ada baik dan buruk. Tapi aku rasa lebih bermakna bila kita lalui yang pahit dahulu, sebab dari situ kita belajar dan lebih menghargai yang manis di masa depan,” katanya mengakhiri perbualan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN