SAN JOSÉ, 22 Julai – Pelakon terkenal Amerika Syarikat, Malcolm-Jamal Warner, yang sinonim dengan watak Theo Huxtable dalam siri ikonik The Cosby Show, dilaporkan meninggal dunia pada usia 54 tahun akibat lemas ketika bercuti di Costa Rica.
Memetik sumber penguat kuasa undang-undang, Warner dipercayai dihanyutkan arus deras sewaktu berada di laut sebelum ditemui tidak bernyawa oleh pasukan penyelamat Palang Merah.
Jabatan Siasatan Kehakiman (OIJ) negara itu mengesahkan kejadian, menyatakan bahawa seorang warganegara Amerika Syarikat dengan nama keluarga Warner maut selepas ditarik ke laut oleh arus.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penyelamat,” menurut kenyataan OIJ.
Kenderaan rasmi OIJ turut dilihat membawa mayat Warner ke rumah mayat di Heredia pada Isnin.
Warner dikenang sebagai figura penting dalam sejarah televisyen Amerika, dengan pencapaian termasuk pencalonan Anugerah Emmy dan kemenangan Anugerah Grammy menerusi penglibatannya dalam bidang seni persembahan.- REUTERS