KUALA LUMPUR, 15 Julai -Lebih sedekad mencorak perjalanan seni secara solo merentas sempadan, penyanyi idola Korea Selatan Jung Yong Hwa bakal menemui peminat di Malaysia bagi bersama-sama meraikan pencapaian perjalanan karier solonya, September ini.
Konsert 2025 JUNG YONG HWA LIVE ‘Director’s Cut: Our Fine Days’ anjuran Lo-Fi Entertainment itu yang dijadual berlangsung pada 14 September di Mega Star Arena, di sini, diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-10 kerjaya solonya dan bertepatan dengan pelancaran album mini terbaharunya bertajuk One Last Day.
Menurut kenyataan Lo-Fi Entertainment, vokalis kumpulan CNBLUE, itu mula meraih populariti bersama-sama kumpulan itu di bawah naungan FNC Entertainment, sebelum memulakan kerjaya solo pada 2015 melalui album studio pertamanya One Fine Day.
Album ini diikuti dua album mini DO DISTURB pada 2017 dan YOUR CITY (2023), sebelum melancarkan One Last Day tahun ini.
Selain daripada pencapaiannya dalam industri K-pop, Yong Hwa juga telah menembusi pasaran J-pop dan C-pop dengan lagu-lagu rakaman dalam bahasa Jepun dan Mandarin.
Tidak terhad kepada bidang muzik, Yong Hwa juga aktif dalam bidang lakonan serta pernah memenangi anugerah Pelakon Cemerlang di KBS Drama Awards 2021.
“Dengan satu dekad kenangan untuk dikongsi, konsert solo ini bukan sekadar meraikan perjalanan karier Yong Hwa, malah merupakan penghargaan istimewa buat para peminat yang sentiasa menyokong beliau sepanjang masa,” menurut Lo-Fi Entertainment.
Tiket konsert itu boleh didapati bermula 1 Ogos ini di pautan www.ticketingtix.com. - BERNAMA