fb fb fb fb fb

Konsert mega 4 dekad Sheila Majid, rai perjalanan dalam industri seni

Sidang media konsert mega Sheila Majid 40 Years in Music

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ratu Jazz Negara Datuk Sheila Majid, 60 akan mengadakan konsert mega Sheila Majid 40 Years in Music pada 8 November depan di ibu negara.

Pelantun lagu Sinaran itu menyifatkan perjalanan seni yang dikecapi merupakan sesuatu yang amat indah selain menjadi simbolik tersendiri dalam perjalanan kariernya.

"Empat dekad atau 40 tahun satu fasa perjalanan karier yang cukup panjang. Saya juga tidak pernah menyangka memiliki keberuntungan dicintai peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya sejak 40 tahun lepas.

"Ini adalah anugerah buat saya. Keberadaan empat dekad saya dalam industri seni Nusantara juga bukan hasil individu tetapi saya telah bertuah kerana mendapat didikan dan ramai 'arkitek' dan 'tangan magis' yang membentuk saya sebagai seorang karyawan seni.

"Jadi Sheila Majid 40 Years in Music adalah tribute terhadap banyaknya pembabitan individu-individu hebat di belakang saya dan menjadi tanda manis kepada karier saya yang masih diterima baik oleh generasi kini," kata Sheila Majid.

Tiket konsert berkenaan akan mula dijual pada 17 Julai bermula pukul 10.00 pagi, pada harga RM268 hingga RM3,400.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI