KUALA LUMPUR, 25 Julai - Penyanyi muda penuh bakat, Wani Kayrie melakar satu lagi detik bermakna dalam kerjaya seninya menerusi pelancaran EP sulung bertajuk W2K pada acara 'Wani Kayrie Listening Party' di MyTOWNKL, hasil kerjasama ASR Festival oleh Ascott.
Majlis sidang media anjuran Rocketfuel Entertainment itu turut menyaksikan pelancaran rasmi single terbaharu iaitu Biarkan yang merupakan sebuah balada meruntun jiwa yang mencerminkan kematangan dan sisi baharu Wani sebagai anak seni.
“Akhirnya setelah sekian lama, saya dapat hadiahkan album mini ini kepada semua yang setia menanti. Ini antara momen paling bermakna buat saya. Saya terharu, teruja dan sangat bersyukur,” ujar Wani penuh emosi.
“Saya lahir tahun 2000, jadi W2K bukan saja simbolik kepada tahun kelahiran saya, tapi juga mewakili sisi baharu saya sebagai penyanyi. Lagu-lagu dalam EP ini semuanya berbeza, ini menunjukkan kepelbagaian muzik saya.” jelas Wani ketika mengulas tajuk W2K.
Tambahnya, konsep W2K turut selari dengan trend 'Y2K' yang digemari anak muda dari segi fesyen, muzik dan ekspresi diri.
“Saya mahu EP ini relevan, 'trendy' dan dekat dengan jiwa generasi saya.” ujarnya.
EP W2K memuatkan lima lagu berbeza iaitu Cak Cak Cekuk, Serius Ah, Aiman Tino, Matahari, dan Biarkan, hasil kerjasama dengan barisan komposer dan penulis lirik hebat seperti Iqie Hugh, Hanis Rafi, Omar K, MFMF, Ezra Kong, Karim Karam dan ramai lagi.
Antara lagu yang paling dekat di hatinya ialah Cak Cak Cekuk.
“Saya gemarkan lagu-lagu yang memberi semangat dan memartabatkan budaya. Lagu ini buat kita rasa positif, yakin dan terhibur,” katanya.
Single Biarkan yang turut dilancarkan serentak, membawa kisah cinta yang tidak kesampaian.
“Kadang-kadang, ‘Biarkan’ adalah cara terbaik untuk kita sembuh,” kongsi Wani sambil mengakui proses rakaman lagu ini cukup mencabar.
“Saya perlu rakam pada hari berbeza, tapi perlu kekalkan emosi yang sama. Memang mencabar, tapi saya puas hati.” tambahnya.
Bagi Wani, W2K adalah fasa penting dalam kerjaya seninya.
“Ia menampilkan konsep, gaya dan genre muzik yang lebih segar – untuk peminat lama dan pendengar baharu. Saya harap W2K bukan sekadar hiburan, tapi menjadi inspirasi. Kalau saya boleh capai impian ini, anda pun boleh. Jangan takut cipta ruang sendiri. Percaya dan teruskan.” katanya.
EP W2K dan single Biarkan kini boleh didapati di semua platform penstriman digital bermula 25 Julai 2025.