fb fb fb fb fb

PeTA UiTM tarik perhatian industri filem, 2 karya pelajar dinobat filem pendek terbaik

Pengarah “Meja Bulat” bagi kategori Diploma, Wan Ikhtisyam Wan Hassan Basri

KUALA LUMPUR, 26 Julai -Projek Penilaian Tahun Akhir (PeTA), Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus menyerlah apabila mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak industri kreatif tanah air, termasuk Golden Screen Cinemas (GSC), Fujifilm dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Dekan fakulti Profesor Madya Ts. Dr Wan Aida Wan, PeTA kali ini cukup istimewa apabila karya-karya pelajar ditayangkan di lokasi profesional seperti pawagam GSC, sekali gus memberikan pengalaman sebenar dunia industri kepada pelajar.

"Sokongan daripada GSC memberi peluang kepada pelajar merasai suasana tayangan sebenar, manakala Fujifilm pula membantu dari segi keperluan teknikal dan memberikan khidmat nasihat sepanjang proses penghasilan karya," katanya ketika ditemui pada malam Cineroyale The Grand Premiere, di sini.

Jelasnya, FINAS turut memainkan peranan penting dalam pembangunan karakter pelajar serta menyokong sesi tayangan sepanjang semester.

Ia sekali gus menunjukkan kepercayaan agensi kepada potensi generasi baharu penggiat seni negara.

Tambah Prof Madya Dr Wan Aida, FiTA menekankan kepelbagaian dalam pengajian, merangkumi bidang seperti filem, teater, muzik, penulisan skrip, animasi dan pengurusan seni, yang mendorong kolaborasi kreatif antara pelajar.

"Apabila mereka berada dalam kelompok bakat pelbagai disiplin, mereka lebih sedar potensi diri dan lebih bersedia untuk menyumbang kepada industri kreatif. Inilah keunikan fakulti kami," katanya.

Beliau optimis bahawa graduan FiTA akan terus menyumbang kepada pembangunan industri seni tanah air dengan lebih yakin dan berkualiti selepas tamat pengajian.

Pada malam tersebut, dua karya pelajar telah dinobatkan sebagai Filem Pendek Terbaik bagi dua peringkat pengajian iaitu “The Cut” bagi kategori Ijazah Sarjana Muda dan “Meja Bulat” bagi kategori Diploma.

Menurut, Pengarah 'The Cut', Nur Amani Ishun, karya yang mengangkat tema cinta dan keterujaan secara puitis dan menyentuh perasaan itu tidak mudah dihasilkan.

Amani mengakui cabaran utama ialah dari segi bahasa, memandangkan beliau berbangsa Melayu manakala watak-watak utama filem ini adalah berbangsa Cina.

“The Cut istimewa kerana ia mengisahkan perubahan dalam perjalanan seorang anak yang kembali kepada ibunya. Ia tentang perasaan dan hubungan yang mendalam,”

“Cabaran paling besar adalah bahasa, terutama untuk mendapatkan pelakon. Tapi saya bertuah kerana berjaya mendapatkan Joyce Harm, pelakon yang sangat berbakat dan memahami watak dengan mendalam.”katanya.

Menariknya, filem tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh hanya dua hari.

"Saya tidak sangka sebab banyak karya lain pun hebat-hebat belaka. Tapi saya bangga dengan pasukan saya yang bekerja keras dengan peluh dan air mata untuk menjayakan filem ini,” tambahnya.

Beliau turut merancang untuk menghantar The Cut ke beberapa festival filem tempatan dan antarabangsa dalam masa terdekat.

Berkongsi rasanya sama, Pengarah “Meja Bulat” bagi kategori Diploma iaitu Wan Ikhtisyam Wan Hassan Basri.

"Saya sangalah teruja sebenarnya tidak menyangka dinobatkan sebagai yang terbaik sebab saya rasa boleh buat yang lagi baik, tapi alhamdulillah sayang sangat teruja dengan anugerah ini." katanya.

Anugerah PeTA kali ini turut merangkumi beberapa kategori lain seperti Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Penyuntingan Terbaik dan Filem Terbaik, yang dipilih berdasarkan keperluan pertandingan.

TETITIA YUSOFF