fb fb fb fb fb

Uji bakat terakhir Bintang Klasik 2025 Zon Tengah tarik penyertaan ramai di Angkasapuri

Foto Facebook Radio Klasik

KUALA LUMPUR, 26 Julai –Uji bakat terakhir Bintang Klasik 2025 peringkat Zon Tengah yang berlangsung di Auditorium P. Ramlee, Wisma Radio, Angkasapuri hari ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta pelbagai latar belakang dan usia.

Menurut Penerbit Induk Bintang Klasik 2025 Rohani Hamdan, lebih 100 peserta disasarkan hadir bagi mencuba nasib di lokasi terakhir ini sebelum proses pemilihan ke peringkat suku akhir dibuat.

"Setakat pukul 11.00 pagi, penyertaan sangat memberangsangkan dan kita menjangkakan lebih ramai akan hadir menjelang petang memandangkan sesi ujibakat dibuka hingga pukul 6.00 petang. Ini adalah peluang terakhir untuk menonjolkan bakat dalam membawakan lagu-lagu klasik Melayu,” katanya.

Sebagai insentif, 30 peserta terawal yang hadir menerima cenderahati daripada penaja utama Bintang Klasik 2025, iaitu NESQ, yang turut menaja hadiah utama berupa wang tunai dan sebuah kereta.

Rohani turut menjelaskan bahawa proses penjurian dibuat secara menyeluruh dan profesional, di mana semua peserta dari setiap zon akan dinilai oleh panel juri yang sama.

Seramai 30 peserta akan dipilih ke peringkat suku akhir sebelum disaring ke 12 peserta untuk separuh akhir dan 6 finalis akan bersaing di pentas akhir Bintang Klasik 2025 yang bakal berlangsung pada bulan September ini.

Penerbit Penyelaras Bintang Klasik 2025, Maszuita Maamin, pula memaklumkan bahawa penganjuran tahun ini membawa beberapa pembaharuan penting, termasuk peluasan lokasi ujibakat hingga ke peringkat negeri dan peningkatan had umur penyertaan daripada 30 ke 35 tahun.

"Tujuannya adalah untuk memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada bakat-bakat baharu yang benar-benar berbakat. Kita mencari peserta yang segar, unik, belum pernah merakam lagu secara rasmi, dan mampu membawakan lagu klasik atau malar segar dengan kualiti vokal yang tersendiri," jelasnya.

Tambah beliau, pihak produksi telah menjelajah ke seluruh negara dengan kerjasama 34 stesen radio di peringkat negeri dan nasional.

"Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan telah melepasi sasaran asal dari segi jumlah penyertaan serta kualiti peserta.Ujibakat peringkat Zon Tengah ini turut diharapkan menjadi medan penentu untuk melahirkan peserta yang layak dan berkredibiliti dalam mewakili genre klasik tanah air," katanya.

Bagi mereka yang masih berminat untuk menyertai, penyertaan masih dibuka sehingga jam 6 petang ini di Angkasapuri.

Orang ramai dipelawa hadir dan menunjukkan bakat masing-masing dalam pencarian SITARA Bintang Klasik 2025.

TETITIA YUSOFF