PETALING JAYA, 25 Julai - Usaha mengangkat semula warisan sinema serantau ASEAN terus diperkukuh, menerusi tayangan eksklusif filem klasik Indonesia Pagar Kawat Berduri (1961), dalam slot bulanan Wayang Budiman, anjuran Gerak Budaya, pada 26 Julai 2025, pukul 11:00 pagi.
Tayangan percuma ini bertujuan mengangkat semula warisan filem klasik Asia Tenggara dan menggalakkan dialog kritikal tentang sejarah, budaya serta politik melalui medium sinema. Acara turut disertai sesi bual santai pascatayangan yang terbuka kepada umum.
Pagar Kawat Berduri, arahan pengarah tersohor Asrul Sani, berlatar Revolusi Nasional Indonesia dan diadaptasi daripada cerpen Trisnoyuwono. Filem tersebut pernah disekat tayangannya pada tahun 1963 walaupun diterbitkan dua tahun lebih awal. Versi restorasi digital dengan sari kata bahasa Inggeris akan dipersembahkan bagi membolehkan generasi baharu menghayati nilai sejarah dan sinematiknya.
Asrul Sani, tokoh penting dunia perfileman dan sastera Indonesia pascakemerdekaan, turut dikenali sebagai penyair serta penulis prolifik. Antara karya arahannya termasuk Apa Yang Kau Cari, Palupi? (1969), Salah Asuhan (1972), Bulan di Atas Kuburan (1973), dan Di Bawah Lindungan Ka'bah (1977).
Tayangan ini merupakan antara usaha bersepadu merapatkan hubungan budaya antara negara-negara ASEAN, selain membuka ruang apresiasi terhadap filem klasik serantau yang kaya dengan nilai sejarah dan identiti budaya bersama.