KUALA LUMPUR, 23 Julai – Dua figura tersohor dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan komposer terkenal, Ade Govinda kembali bergabung menerusi single terbaharu berjudul Menamakanmu Cinta, sebuah lagu cinta yang sarat dengan emosi dan penuh makna.
Lagu ini menandakan kesinambungan kerjasama antara mereka selepas kejayaan tiga lagu ciptaan Ade Govinda dalam album Fragmen (2014), iaitu Terbaik Bagimu, Engkau, dan Tak Pernah Ragu.
Menurut Siti Nurhaliza, beliau amat bersyukur dapat kembali bekerjasama dengan Ade.
“Menamakanmu Cinta adalah sebuah lagu yang indah dan dekat di hati. Sentuhan muzik Ade sangat kuat dan saya percaya lagu ini akan diterima baik oleh peminat di Malaysia, Indonesia dan di mana jua.” katanya.
Beliau turut menyifatkan lagu ini sebagai satu penghargaan terhadap insan-insan tercinta.
“Saya berharap lagu ini dapat menyatukan perasaan serta menjadi kenangan bermakna buat mereka yang menghargai cinta sejati.” ujarnya
Bagi Ade selaku penulis lagu dan penerbit, pengalaman bekerjasama dengan Siti Nurhaliza kali ini amat istimewa,
“Saya mahu cipta lagu cinta yang boleh dinyanyikan di setiap majlis perkahwinan. Proses rakaman bersama Datuk Seri Siti berjalan lancar dan menyeronokkan. Vokal beliau sangat luar biasa.” kata beliau.
Ade turut berkongsi suasana mesra sepanjang sesi rakaman.
“Beliau (Siti Nurhaliza) sangat prihatin, setiap kali hadir ke studio pasti membawa makanan. Walaupun suasananya santai, ia tetap profesional dan penuh semangat.” ujarnya.
Tambah Ade, lagu ini diharap menjadi lagu tema pasangan yang sedang dilamun cinta.
“Menamakanmu Cinta bukan sekadar lagu, ia adalah luahan perasaan mendalam antara dua jiwa. Semoga ia menjadi pengiring momen indah dan kenangan terindah dalam kehidupan pasangan yang saling mencintai.” katanya lagi.