KUALA LUMPUR, 19 Jun-Pasangan pelancong dari Taiwan yang juga merupakan vlogger menzahirkan rasa terharu dengan sikap dan budi pekerti orang Sabah yang disifatkan 'sangat baik dan luar biasa'.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di laman YouTube, Zoebitalk baru-baru ini, pasangan berkenaan dalam perjalanan dari Sabah ke Brunei.
Namun semasa dalam perjalanan, kenderaan mereka berdepan masalah teknikal. Semasa kejadian, mereka berada di daerah Keningau dan sedang melalui satu kawasan pergunungan sebelum motosikal dinaiki mengalami kerosakan selepas tayar pancit secara tiba-tiba.
Keadaan itu menyebabkan pasangan berkenaan berhenti di tepi jalan bagi mendapatkan pertolongan.
Namun, nasib pasangan tersebut baik selepas beberapa penduduk tempatan yang melalui kawasan tersebut menolong mengangkut motosikal menggunakan kenderaan pacuan empat roda sebelum membawa pasangan tersebut ke bengkel berdekatan.
Tambah pasangan berkenaan, sikap tidak mementingkan diri orang Sabah menyebabkan dia amat rasa terharu.
“Mereka telah memandu setengah jam ke tempat kerja, kemudian memandu setengah jam lagi untuk membantu kami, dan sekarang mereka perlu memandu balik satu lagi setengah jam. Ia benar-benar tidak mementingkan diri (sikap),” luah Zoe dengan nada sebak.
Dalam video tersebut, pasangan itu turut menghulurkan sedikit wang sebagai tanda terima kasih atas bantuan yang dihulurkan oleh penduduk berkenaan namun ditolak oleh penduduk.
Video tersebut turut tular dibeberapa laman media sosial termasuk diTikTok. Berdasarkan ruangan komen, individu yang membantu itu dikenali sebagai Cikgu Martin.