KUALA LUMPUR, 30 Januari- Walaupun menjangkau usia 60 tahun pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi masih ligat dan terus aktif dalam kerjaya seninya.
Mengutamakan kualiti dalam setiap hasil kerjanya, beliau kini lebih mengutamakan program-program santai yang boleh memberikan mesej dan ilmu.
Beliau yang mesra disapa dengan panggilan Pak Nil mengakui, manjangkau usia senior dalam arena seni beliau tidak mahu terikat dengan program ditentukan penerbit dan stesen televisyen, sebaliknya berharap diberi ruang mencorakkan kandungan programnya sendiri.
" Paknil sekarang ni dah lama menceburkan diri dalam bidang seni, tidak mungkin, tiada hak untuk memilih program-program yang mahu terlibat, Pak Nil tidak mahu buat program-program yang terlalu santai, masih boleh santai, tetapi pada wakttu sama, ada kredibiliti dan mempunyai ruang untuk menyampaikan mesej dan ilmu," katanya ketika ditemui pada majlis Up Close & Personal With Pak Nil dan sesi pengumumannya sebagai duta kelengkapan dapur dan barang elektrik jenama Nakada, di sini, baru-baru ini.
Bagi selebriti yang juga aktif dengan kerja kebajikan itu, pembabitannya sebagai duta bukan sekadar mempromosi jenama.
Bahkan, katanya duta sesuatu produk mempunyai tanggungjawab besar untuk meningkatkan kesedaran ramai terhadap jenama itu.
"Saya sedar penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu memberi kesan kepada ramai orang. Ia termasuk dalam aspek perbelanjaan ekonomi.
"Oleh itu, saya berbincang dengan Nakada untuk mengadakan sesi belian harga istimewa. Permintaan itu dipersetujui mereka dan sekali gus membolehkan orang ramai memiliki barangan jenama itu dengan harga runtuh.
"Setiap minggu saya akan buat satu jam sesi siaran langsung di media sosial termasuk Facebook, Instagram dan TikTok. Dalam tempoh itu, belian harga duta membolehkan pengikut media sosial membeli barangan jenama itu dengan potongan harga sehingga 70 peratus," katanya.
Sementara itu, sebagai orang lama dalam industri, Pak Nil juga mengharapkan penggiat seni tanah air baharu tidak memandang remeh kerjaya sebagai anak seni, sebaliknya menganggap ia sebagai satu pekerjaan dan juga mata pencarian.
"Untuk bintang-bintang baharu ni pesan Pak Nil jadikan pekerjaan sebagai anak seni satu kerjaya, bukan hobi atau kerja separuh masa. Kena beringat, kalau hilang pekerjaan, kita hilang mata pencarian," katanya.