fb fb fb fb fb

Penghasilan telefilem 'Mek Raya' sasar promosi tempat menarik di wilayah KETENGAH kepada pelancong


FOTO FB FAIZAL RAMLIY

KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melalui Ketengah Holding Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan syarikat produksi Nang Surya Studios bagi mempromosi wilayah KETENGAH, khususnya Tasik Kenyir menerusi telefilem ‘Mek Raya’. 

Telefilem yang akan disiarkan di RTM itu memaparkan kisah masyarakat Terengganu di mana sebahagian besar pengambaran dilakukan di sekitar Hulu Terengganu dan Tasik Kenyir.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KETENGAH Holding Sdn Bhd, Mohd Zaid Sulaiman berkata telefilem itu dirakam di pelbagai lokasi menarik termasuk di wilayah KETENGAH antaranya Pulau Orkid, Santuari Kelah, Jeti Gawi, Pulau Poh di Tasik Kenyir, Muzium Bukit Besi dan Kampung Pasir Raja.

"Kita mengharapkan dengan penajaan ini dapat mempromosi kawasan pelancongan di wilayah KETENGAH terutamanya dan Terengganu amnya. Dengan kehadiran pelancong ke negeri kita dan wilayah KETENGAH khasnya akan membantu melonjakkan rantaian ekonomi peniaga tempatan kita," kata Zaid kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan bagi Telemovie Mek Raya antara Ketengah Holding Sdn Bhd dan Nang Surya Group Sdn Bhd di Primula Beach Resort.

Pada majlis itu pihaknya menyumbang RM50,000 untuk produksi ‘Mek Raya’.

Pengarah telefilem tersebut, Rotli Md Jidin berkata 'Mek Raya' merupakan sebuah cerita berkonsepkan Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa dan saling berkongsi budaya serta memupuk perpaduan antara kaum.

 

Media Baharu