fb fb fb fb fb

Neelofa selamat bersalin, Muhammad Bilal nama pilihan putera sulung

FOTO FB NEELOFA

KUALA LUMPUR, 31 Januari-Pelakon dan usahawan, Neelofa selamat melahirkan anak lelaki sulung di sebuah hospital di ibu negara, pada pukul 3.44 petang, pada Sabtu.

Khabar gembira tersebut dikongsikan suaminya, Muhammad Haris Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran PU Riz, menerusi satu kenyataan.

Menerusi kenyataan itu, PU Riz meluahkan kesyukuran kerana segala urusan menyambut cahaya mata pertama mereka dipermudahkan.

“Assalamualaikum. Alhamdulillah, puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT untuk segala berkat dan rahmat-Nya.

“Isteri saya, Noor Neelofa Mohd Noor telah selamat melahirkan putera sulung kami, Muhammad Bilal Muhammad Haris pada 29 Januari 2022, pukul 3.44 petang.

“Syukur, Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan. Kini isteri saya sedang berehat dan kami sedang melalui satu fasa yang sangat menggembirakan untuk kami sekeluarga,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Pasangan itu turut menzahirkan penghargaan buat semua yang mendoakan mereka.

“Saya dan Neelofa ingin merakamkan jutaan penghargaan dan rasa penuh bersyukur atas doa yang dikirim oleh anda semua.

“Terima kasih atas ingatan kalian sejak kami mendirikan rumah tangga sehinggalah kami menimang cahaya mata. Sebagaimana kalian mendoakan kesejahteraan saya dan isteri tahun lalu.

“Mohon titipkan juga doa-doa yang baik agar zuriat yang berada di pangkuan kami ini mampu menjadi khalifah yang dapat memberikan kebaikan kepada agama dan negara,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.

Berita mengenai kehamilan Neelofa hangat diperkatakan sejak Julai tahun lalu, namun pasangan itu memilih untuk tidak berkongsi secara terbuka mengenai status kandungan.

Haris dan Neelofa berkahwin di sebuah hotel di ibu negara, pada 27 Mac tahun lalu.

Sementara itu, laman sosial Neelofa turut dibanjiri ribuan ucapan tahniah daripada para peminat.

Selain ucapan tahniah, komen mereka antaranya mendoakan kesejahteraan Neloofa dan Muhammad Bilal.

Media Baharu