fb fb fb fb fb

“Semoga hari ini memberi anda ketenangan dan kedamaian." status Kryst sebelum mati

FOTO AFP

NEW YORK, 1 Februari- Penganjur Miss USA dan Miss Universe menyifatkan kematian bekas ratu cantik Amerika Syarikat, Cheslie Kryst, 30 yang ditemukan mati selepas dipercayai terjun dari tingkat 29 kondominium Orion, sebagai satu ‘kehilangan’ besar.

Menurut mereka, bekas ratu cantik itu sering bercakap mengenai tekanan dan kesihatan mental sebelum kematiannya.

Kenyataan Miss Universe dan Miss USA menyebut, “Kryst antara yang paling menyinar, menyerlah dan paling baik yang pernah kami kenali dan sentiasa menceriakan situasi.”

Sumber Polis New York mengesahkan pada lewat Ahad, mayat Kryst ditemukan kira-kira 7.00 pagi waktu tempatan di tingkat bawah bangunan pencakar langit di 42 Street, Manhattan.

“Berdasarkan laporan awal, wanita itu terjun dari lokasi tinggi dan dipercayai bunuh diri," kata kenyataan itu.

Laporan New York Post menyebut, Kryst terjun dari kediamannya di tingkat 29 Kondominium Orion.

Beberapa jam sebelum mayat ditemukan, Kryst memuat naik gambarnya di Instagram dengan kapsyen “semoga hari ini memberi anda ketenangan dan kedamaian."

Sejak kelahiran Kryst di Michigan pada 1991, media Amerika Syarikat sering membuat liputan mengenai kehidupannya yang berdarah campuran dan dibesarkan di North Carolina serta memperoleh ijazah undang-undang.

Ibunya dinobatkan sebagai Miss North Carolina pada 2002 dan Kryst juga pernah dinobatkan sebagai Miss North Carolina dan Miss USA pada 2019 ketika berusia 28 tahun, peserta paling tua memenangi pertandingan tersebut.

Pada tahun sama, Kryst mendapat tempat ke-10 dalam pertandingan Miss Universe. -AFP

Media Baharu