FOTO REUTERS
MUMBAI, 7 Februari- Kerajaan India mengumumkan mendiang Lata Mangeshkar yang meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ akan diberi penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Negara.
Sebagai tanda pengormatan kepada penerima anugerah tertinggi untuk orang awam, kerajaan India turut mengumumkan untuk mengibarkan bendera separuh tiang dan berkabung selama dua hari. Sepanjang tempoh itu ke semua majlis rasmi juga diarah dibatalkan.
Penyanyi legenda itu yang terkenal dengan suaranya yang lunak disemadikan di Shivaji Park di sini, pukul 6.30 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) Ahad.
Perdana Menteri, Narendra Modi juga dilaporkan berlepas ke Mumbai bagi menghadiri upacara terakhir mendiang.
Seniwati tersohor Bollywood itu meninggal dunia pada usia 92 tahun di hospital di Mumbai Breach Candy selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi sejak 11 Januari lalu akibat jangkitan COVID-19.
Kerandanya dibalut dengan bendera India, serta diarak melalui jalan-jalan di bandar asalnya, Mumbai dengan trak yang dihiasi bunga.
Beribu-ribu orang berkumpul di sekitar Taman Shivaji, di mana istiadat pengebumian dijalankan, ada di antaranya yang memanjat tembok dan pokok untuk melihat dengan lebih jelas bagi memberi penghormatan terakhir.
Bercakap kepada The Indian Express, Pengarah Hospital Breach Candy, Dr Samdhani berkata, mendiang dimasukkan ke unit rawatan rapi sejak 11 Januari lalu akibat jangkitan COVID-19 dan pneumonia.
"Atas faktor usia, kami berdepan dengan kesukaran. Kami telah cuba sedaya upada namun beliau berdepan dengan pelbagai komplikasi pasca COVID-19," katanya.
Beliau memberitahu, melihat pada kegagalan satu demi satu organ mendiang sejak beberapa hari lalu, pihaknya sedar penyanyi legenda itu akan meninggalkan dunia.
Mangeshkar yang lahir pada tahun 1929, memulakan karier seninya pada usia lima tahun hasil latihan bapanya, Deenanth.
Setelah bapanya meninggal dunia, beliau terpaksa memikul tanggungjawab untuk menyara empat beradik dan keluarganya pada usia 13 tahun.
Mendiang juga pernah dijemput kerajaan bagi menyanyikan lagu patriotik sebagai penghormatan kepada anggota tentera yang terbunuh dalam perang Indo-China pada tahun 1962.
Lata Mangeshka terkenal dengan sifatnya yang sering menyanyi tanpa memakai kasut sebagai tanda hormat kepada seni nyanyi dan menulis sendiri bait lirik sebelum merakamnya.