FOTO AFP
LOS ANGELES, 29 Januari- Seorang wanita menyaman penyanyi R&B Chris Brown sebanyak AS$20 juta kerana didakwa memberi dadah dan merogolnya di atas kapal layar yang berlabuh di sebuah hartanah di Miami milik P Diddy.
Menurut saman sivil, yang difailkan pada Khamis, Brown menjemput wanita itu yang digambarkan sebagai koreografer, penari, model dan artis muzik ke kapal layar sejurus selepas tiba di Miami pada 30 Disember 2020.
Wanita itu mendakwa minuman yang ditawarkan kepadanya ketika kejadian membuatkan dia berasa "khayal dan secara fizikalnya tidak stabil."
Pemfailan itu mengatakan Brown membawanya ke bilik tidur dan merogolnya walaupun wanita itu menolak.
"Peristiwa penuh trauma yang dialami oleh Plaintif yang dinamakan Jane Doe adalah satu insiden yang mengejutkan dan seharusnya menakutkan kita semua," kata saman itu, yang difailkan di Los Angeles.
Brown, pemenang Anugerah Grammy kemudainnya membuat satu hantaran di laman Instagram selepas berita mengenai saman itu tersebar.
"Saya harap anda melihat corak [emoji topi biru] ini," tulisnya. Emoji topi biru digunakan untuk menunjukkan perkara yang tidak benar.
"Setiap kali saya mengeluarkan muzik atau projek 'mereka' cuba melakukan sesuatu yang tidak masuk akal."
Brown bagaimanapun tidak menyatakan siapa "mereka" yang dimaksudkannya.
Pada tahun 2009, Brown disabitkan bersalah memukul rakan penyanyi Rihanna, yang juga teman wanitanya sekaligus menyebabkan Rihanna terlepas Anugerah Grammy kerana kecederaan yang dialaminya.
Brown juga sebelum ini dituduh merogol seorang wanita di sebuah hotel mewah di Paris. Dia bagaimanapun menafikan dakwaan itu, dan tidak didakwa.- AFP