NEW ORLEANS, 10 Februari- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyindir penyanyi Taylor Swift selepas bintang pop itu diejek penonton semasa perlawanan Super Bowl LIX yang menyaksikan Kansas City Chiefs tewas 22-40 kepada Philadelphia Eagles di sini pada Ahad.
Trump yang menghadiri acara itu dan menerima sorakan ketika muncul di skrin stadium kemudian memuat naik hantaran di platform Truth Social dengan menyindir Swift.
"Satu-satunya yang mengalami malam lebih sukar daripada Kansas City Chiefs ialah Taylor Swift. Dia 'diboo' (diejek) keluar dari stadium. MAGA (Make America Great Again) tidak akan memaafkan!" tulis Trump.
Sebelum itu, Trump turut berkongsi hantaran daripada pengguna lain yang membandingkan sambutan penonton terhadapnya dengan Swift. Hantaran itu menyebut, "Trump menerima sorakan gemuruh di Super Bowl, sementara Taylor Swift 'diboo' - dunia semakin pulih!"
Swift yang menyokong pencabar Trump dalam pilihan raya Presiden AS, Kamala Harris, tahun lalu, sebelum ini pernah menjadi sasaran kritikan Trump.
Ketika Swift secara terbuka menyokong Harris, Trump menulis di Truth Social, "Saya benci Taylor Swift."
Penyanyi itu hadir di Super Bowl bagi menyaksikan teman lelakinya, Travis Kelce yang bermain untuk Kansas City Chiefs.
Namun, ramai penyokong Trump beranggapan kehadiran Swift tidak membawa tuah selepas pasukan itu mengalami kekalahan besar. -AFP