fb fb fb fb fb

Polis India henti persembahan jalanan Ed Sheeran di Bangalore

Tidak menyedari identiti Ed Sheeran, pegawai polis meminta beliau menghentikan persembahan kerana mendakwa tiada kebenaran rasmi/Reuters

BANGALORE, 10 Februari- Penyanyi terkenal Britain, Ed Sheeran mengalami detik janggal apabila polis India menghentikan persembahan jalanannya pada pagi Ahad.

Sheeran, yang kini berada di negara itu untuk Jelajah India 2025 membuat persembahan spontan di Church Street di sini.

Bintang muzik global itu mula menghiburkan orang ramai dari kaki lima, menarik perhatian para pejalan kaki yang berkumpul untuk menonton. Bagaimanapun, apabila jumlah penonton semakin bertambah, polis bertindak mengawal keadaan.

Tidak menyedari identiti Sheeran, pegawai polis meminta beliau menghentikan persembahan kerana mendakwa tiada kebenaran rasmi.

Rakaman menunjukkan seorang pegawai mencabut palam mikrofon Sheeran ketika penyanyi itu masih meneruskan persembahan.

Sheeran kemudian menjelaskan kekeliruan itu dengan mendedahkan persembahan tersebut sebenarnya telah mendapat kelulusan.

"Kami memang ada kebenaran untuk membuat persembahan, sebab itulah kami bermain di lokasi tersebut. Ia telah dirancang lebih awal, bukan secara spontan.

"Semuanya baik sahaja. Jumpa anda di konsert malam ini," katanya.

Pemenang empat Anugerah Grammy itu sudah pun membuat persembahan di Bangalore pada Sabtu dan dijadualkan beraksi sekali lagi pada Ahad di NICE Grounds di Bengaluru.

Jelajah India Sheeran turut menyaksikan persembahan istimewa di Hyderabad bersama Armaan Malik. Beliau dijadualkan meneruskan konsert di Pune, Shillong dan Delhi NCR dalam beberapa hari akan datang.

Disebabkan permintaan tiket yang tinggi, Bangalore menjadi satu-satunya bandar yang mana Sheeran mengadakan dua persembahan. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA