fb fb fb fb fb

RTM siar telefilem 'Tiada Jalan Keluar' realiti sindiket penipuan badan kebajikan

Telefilem ini akan ditayangkan pada 7 Februari, pukul 10.00 malam di saluran Okey

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi tampil dengan drama penuh kesedaran sosial melalui telefilem "Tiada Jalan Keluar" yang mengetengahkan kisah sindiket penipuan berselindung di sebalik badan kebajikan untuk memperdaya mangsa, khususnya warga emas dan kanak-kanak.

Telefilem ini akan ditayangkan pada 7 Februari, pukul 10.00 malam di saluran Okey, dengan siaran ulangannya pada 9 Februari pukul 4.00 petang.

Menerusi kisah Haziq dan Lily, dua rakan sekolah dari keluarga miskin yang diculik oleh sindiket penipuan selepas cuba membeli hadiah kepada guru mereka.

Penonton dibawa menelusuri kisah penuh mendebarkan menampilkan taktik licik sindiket ini dalam memperdaya orang ramai.

"Tiada Jalan Keluar" bukan sekadar hiburan, tetapi satu peringatan kepada penonton agar lebih berwaspada terhadap modus operandi sindiket yang memanipulasi emosi dan kepercayaan masyarakat.

"Kita sedar bukan mudah untuk menghentikan jenayah ini sepenuhnya, tetapi dengan kesedaran yang disampaikan menerusi medium seperti drama dan telefilem, masyarakat dapat lebih peka serta berhati-hati agar tidak menjadi mangsa," menurut kenyataan RTM pada Selasa.

Telefilem terbitan FJ Pictures ini menampilkan Eyka Farhana dan Kahoe Hon sebagai pelakon utama, serta dibantu oleh Radhi Khalid, Riz Amin, Ummar Dzariff, Heidi Nur Aleesya, Raffique Iskandar, Meor Mohd, dan Faiz Zulkipli.

Ini merupakan sebahagian daripada usaha RTM menyebarkan kesedaran kepada masyarakat tentang jenayah penipuan yang semakin berleluasa.

GRACE AISYAH KEDAYAN