fb fb fb fb fb

'Tiger Stripes' wakili Malaysia di Oscars ke-96

(FOTO IG ghostgrrrlpictures)

KUALA LUMPUR, 5 Oktober- Filem cereka tempatan berjudul 'Tiger Stripes' dipilih secara rasmi bagi mewakili Malaysia untuk kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke-96 (Oscars) Mac 2024.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pemilihan filem itu telah dinilai dan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Jawatankuasa berkenaan terdiri daripada penggiat industri filem tempatan bertaraf profesional dan berpengalaman melalui proses penilaian serta pematuhan kepada peraturan penyertaan yang ditetapkan oleh pihak penganjur Oscars.

"Semoga perkembangan ini menjadi penyuntik semangat kepada semua penggiat filem untuk terus mendukung misi kerajaan dalam usaha memperkasakan industri perfileman negara di peringkat global.

"Pada masa yang sama, saya berharap usaha ini akan meningkatkan potensi penjenamaan serta pengantarabangsaan produk filem dan bakat kreatif negara yang berkualiti tinggi," katanya dalam kenyataan.

'Tiger Stripes' merupakan filem terbitan syarikat G Grrrl Pictures Sdn. Bhd. dan arahan pertama Amanda Nell Eu, serta dibintangi oleh barisan pelakon seperti Zafreen Zairizal, Piqa, Deena Ezral, Jun Lojong, Khairunazwan Rodzy, Fatimah Abu Bakar, Shaheizy Sam dan ramai lagi.

Di peringkat antarabangsa, filem tersebut telah memenangi Anugerah Grand Prix di Semaine de la Critique ke-62 sempena Festival Filem Cannes ke-76 di Perancis.

Selain itu, karya berkenaan turut menerima Anugerah Khas Penghargaan Juri (Special Jury Mention) bagi kategori Filem Cereka Pertama di Fantasia International Film Festival ke-27 di Kanada, masing-masing pada Mei dan Julai lalu.

rtm

Media Baharu