KUALA LUMPUR, 28 Jun - Penyanyi jazz-R&B tersohor negara, Noryn Aziz, bakal memukau 500 penonton menerusi persembahan eksklusif “This Is Noryn Aziz” di Auditorium DBKL, pada 19 September depan.
Lebih daripada sekadar konsert, acara ini adalah naratif kehidupan Noryn yang dizahirkan melalui muzik, menampilkan gabungan jazz, soul dan R&B daripada lagu klasik ke karya terkini seperti “Kaki Kiriku”, “Syurga Sempurna” dan “Hoore Hoore”.
Ia dijangka menjadi antara momen paling peribadi dan bermakna dalam karier seninya.
“This Is Noryn Aziz bukan sekadar persembahan muzik. Ia adalah cerminan siapa saya sebagai seorang penyanyi, wanita, dan anak Malaysia,” ujarnya.
Persembahannya terbahagi kepada dua babak iaitu Jazz & Soul, dengan sentuhan Parisian-Melayu yang unik.
Serta Celebration, penuh semangat dan emosi R&B kontemporari.
Dari “Fantasi O Realiti” ke “Alam Maya”, Noryn akan membawa penonton merentas masa dan pengaruh, termasuk daripada Ella Fitzgerald, Anita Baker dan Datuk Sheila Majid namun dalam perspektif Malaysia.
“Saya mahu jazz itu berbunyi seperti kita, dengan bahasa kita, ritma kita, dan jiwa kita,” jelas Noryn lagi, menyuarakan hasrat menjadikan jazz lebih dekat dan inklusif kepada masyarakat tempatan.
Selain meraikan perjalanannya, Noryn turut menjadikan pentas ini sebagai ruang buat pemuzik muda khususnya wanita dalam genre jazz untuk terus berani berkarya agar tidak gentar mengekspresikan diri walau dalam genre yang dianggap “eksklusif”.
“Malaysia mempunyai suara jazz yang sophisticated tapi bersahaja, antarabangsa tapi tetap berakar budaya. Elegan, moden dan tetap Malaysia.”
Tiket amat terhad, hanya 500 tempat duduk disediakan, menjadikan acara ini sebuah pengalaman eksklusif bagi penggemar muzik yang menghargai seni berkualiti dan suara ikonik negara.