LONDON, 25 Februari - Pengendali skuad The Gunners, Mikel Arteta mencabar anak buahnya untuk memburu tempat dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selepas kejayaan pasukannya membenam Wolves 2-1 menerusi gol minit-minit akhir perlawanan.
Arsenal ketinggalan selepas Hwang Hee-chan meletakkan Wolves di depan seawal minit ke-9 permainan sekali gus meningkatkan moral pemain mendominasi perlawanan di Stadium Emirates.
Pemain gantian yang dibawa masuk Arteta, Nicolas Pepe berjaya merapatkan kedudukan 1-1 pada minit ke-82 sebelum penjaga gol Wolves, Jose Sa tertampan bola rembatan Alexandre Lacazette ke gawang sendiri sebelum tamat permainan.
(Hwang Hee-chan dan rakan sepasukan meraikan gol pertama berdepan Arsenal di Stadium Emirates/AFP)
Kemenangan liga ketiga berturut-turut meletakkan Arsenal ke tangga kelima dan kini hanya satu mata di belakang The Red Devils yang menghuni tangga keempat tetapi bermain lebih dua perlawanan.
14 kemenangan liga dicatat Arsenal sejak September lalu hanya diatasi oleh Manchester City dan Liverpool.
"Apabila anda menang perlawanan selepas ketinggalan 1-0 menentang Wolves, ia amat sukar tetapi kami melakukannya. Kemenangan penting untuk kami.
"Selepas tiga kekalahan dalam tiga perlawanan pertama kami perlu mengelak penyingkiran. Anda perlu konsisten dengan visi dan cara anda melakukan persiapan. Hasilnya pasti tiba," kata Arteta. - AFP