AYER KEROH, 25 Februari - Selepas 10 tahun dipentaskan di Istana Budaya, Teater Muzikal Ali Baba arahan Pengarah Lokman Ghani, bakal dipersembahkan kembali di Melaka dengan memberi nafas baharu.
Menariknya, pementasan kali ini hampir keseluruhannya dipersembahkan oleh pelakon-pelakon baharu yang dipilih selepas sesi uji bakat dilaksana tahun lalu.
Menurut Lokman yang juga Presiden Pertubuhan Teater Negeri Melaka (PERTEM) , ini merupakan cabaran besar buatnya, namun beliau percaya dengan bakat dan minat setiap pelakon yang terpilih.
Secara tidak langsung mereka dapat menimba ilmu dan mengasah bakat lakonan bersama pelakon-pelakon lama yang turut terlibat dalam pementasan berkenaan.
"Dan Alhamdulillah berkonsepkan pertukaran pengetahuan ini secara tidak langsung saya libatkan tenaga-tenaga pelakon profesional. Bersama kita membentuk mereka sebagai seorang pelakon," kata Lokman di sini.
Teater Muzikal Ali Baba akan dipentaskan di Panggung Seri, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Melaka pada 18, 19 dan 20 Mac ini.
Antara pelakon utama yang ditampilkan ialah Datuk Jalaludin Hassan, Aziz M. Osman, Ashraf Muslim dan Najua P.Ramlee.
Jualan tiket akan mula dibuka pada 10 Mac menerusi laman sosial Facebook JKKN Melaka.