fb fb fb fb fb

Pasukan Todak MLBB wakili Malaysia ke Sukan SEA Hanoi 2022

KUALA LUMPUR, 24 Februari - Kejohanan Pemilihan Esukan Malaysia 2022 menyaksikan Pasukan Mobile Legend: Bang-Bang (MLBB) Todak berjaya meraih tiket kelayakan tunggal acara berkenaan ke Sukan SEA Hanoi selepas muncul juara pada malam tadi.

Todak menewaskan RSG 3-1 pada aksi final sekali gus mengesahkan kejuaraan dan tiket ke Sukan SEA Hanoi 2022 yang dijadual pada 12 hingga 23 Mei depan.

Menerusi siaran langsung yang ditayangkan di Facebook Persatuan E-Sukan Malaysia (MESF) itu, Todak turun selaku pasukan pilihan mencatat kemenangan dalam dua pusingan pertama untuk mendahului 2-0.

Tidak mahu mengalah, RSG bangkit merapatkan jurang 1-2 apabila menang pusingan ketiga dalam masa kurang daripada 12 minit, namun terpaksa akur apabila Todak berjaya menyapu bersih di permainan terakhir dalam tempoh kurang dari 11 minit.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Todak, Mohd Syazlan Mohd Rosdi berkata beliau sangat gembira melihat kerja keras anak buahnya selama ini memberikan kejayaan.

“Saya sangat gembira, sebab cita-cita mereka untuk mewakili Malaysia dalam Sukan SEA akhirnya tercapai dan kerja keras mereka akhirnya membuahkan hasil,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Ditanya mengenai persiapan ke temasya berkenaan, beliau berkata pasukannya akan berusaha menggandakan latihan dan berazam untuk mengharumkan nama Malaysia sekali gus dapat memajukan eSukan negara di pentas antarabangsa.

Barisan pemain pasukan Todak dalam aksi final semalam adalah Zikry Shamsuddin (Moonji), Wan Usman Wan Imran (4Meyz), Idreen Abdul Jamal (Momo), Mohamad Farhan Wakiman (Moyy) dan Muhammad Danial Mohd Fuad (CikuGais) yang dinobatkan ‘Most Valuable Player (MVP)’ di permainan kedua dan keempat. -BERNAMA

Media Baharu