fb fb fb fb fb

Elanga wira Manchester United, seri 1-1 berdepan Atletico Madrid

(Elanga ledak gol penyamaan Manchester United berdepan Atletico Madrid awal pagi tadi/AFP)

MADRID, 24 Februari - Manchester United berjaya mengikat kedudukan seri 1-1 dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid awal pagi tadi.

Meski Atletico Madrid berjaya meletakkan pasukan di hadapan seawal minit ke-6 menerusi tandukan padu bintang mudanya, Joao Felix, nyata tidak mematahkan semangat skuad The Red Devils.

Gol hasil jaringan pemain gantian, Anthony Elanga pada minit ke-79 nyata menyelamatkan pasukan itu pada pusingan pertama kelompok 16 terakhir.

Pemain berusia 19 tahun itu meledak hasil sentuhan pertamanya dalam tempoh lima minit beraksi bagi memecah kebuntuan dan dominasi tuan rumah.

"Saya sentiasa mengimpikan saat seperti ini, menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara berdepan pasukan handalan seperti Atletico Madrid," kata Elanga kepada BT Sport.

Hantaran kemas Bruno Fernandes kepada Elanga berjaya disempurnakan tepat ke penjuru gawang menewaskan Jan Oblak.

(Aksi pemain Manchester United dan Atletico Madrid di Stadium Wanda Metropolitano, Sepanyol/AFP)

"Saya amat tenang. Saya hanya mahu memberikan 150% apabila saya berada di atas padang. Saya sentiasa katakan kepada diri sendiri, saya mahu menjadi pemain terbaik di atas padang."

"Kami tidak bagus pada babak pertama, tetapi pertukaran dibuat untuk tingkatkan mutu permainan. Ralf Rangnick memberitahu saya untuk bergerak agresif dan menyudahkan peluang yang terhidang," kata Elanga.

Pengendalinya, Ralf Rangnick berpuas hati dengan aksi dipamerkan Elanga.

"Dia bermain sangat bagus, seronok dan gembira melihatnya, saya harap beberapa pemain akan menjadikannya sebagai contoh dan model ikutan," kata pengendali dari Jerman itu.

Elanga menjadi penjaring gol termuda United pada peringkat kalah mati Liga Juara- Juara pada usia 19 tahun 302 hari. - REUTERS

Media Baharu