KUALA LUMPUR, 17 Julai - Penyanyi dan pencipta lagu berbakat besar, Aisha Retno menjanjikan persembahan bertenaga dan dinamik menerusi 'showcase' 'The A.I.S.H.A Experience' yang dijadual berlangsung pada 20 September ini, pukul 8.00 malam di Petaling Jaya.
Pelantun suara yang dikenali dengan karya-karya lagu eklektik itu, bakal menghiburkan peminatnya dengan lebih 10 lagu baharu; termasuk lima lagu daripada 12 lagu yang dimuatkan dalam album baharunya.
Album dengan sentuhan komposisi lima genre berbeza itu dilancarkan serentak dengan pengumuman 'showcase' berkenaan.
"Album ini bertajuk REHAB. Rehabilitasi yang juga apa yang Aisha lalui ialah proses rehabilitasi kepada diri Aisha juga dalam muzik industri," jelas Aisha yang ditemui pada sidang media yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Aisha turut mempersembahkan secara eksklusif rangkaian lagu Tak Adil, Jeda, Orbit, 'Missing Piece' dan Titik Temu dengan lantunan vokal bersahaja dan gerak tari mempesona; seakan memberi bayangan 'showcase' istimewanya nanti tidak akan mengecewakan para peminat.
"Daripada segi susunan lagu dan juga pemilihan lagu-lagu di dalam album ini memang kami sengajakan genrenya berbeza-beza.
"Jadi, ada variasi dan juga bolehlah memperkenalkan kepada orang bawa Aisha ini lagi kiranya ada juga boleh membawakan genre lagu yang berlainan semampunya, dan paling penting sekali kerana genre lagu ini akan menjadi menyeronokkan dan menghiburkan bila nanti Aisha bawakan di 'The A.I.S.H.A Experience'," katanya lagi.
Beliau menyifatkan penampilannya menerusi 'showcase' istimewa itu sebagai lembaran baharu dalam kembara muziknya.
Ia juga mewakili perjalanannya sebagai seorang artis kontemporari yang lebih berdaya tahan, lebih bereksperimen serta menjiwai karya-karyanya sepenuh hati dengan mesej bermakna kepada penggemar muzik tanah air.
"Album ini menggambarkan keseluruhan perjalanan hidup Aisha. Kesemua 12 lagu dalam album ini adalah berdasarkan kisah benar. Oleh itu, naratif album ini lebih kepada menyampaikan mesej-mesej yang terkandung dalam setiap lagu.
"Pada masa sama, untuk pendengar memahami bahawa ini adalah kitaran untuk perasaan kita, dalam cinta, dalam ketidakadilan dan tidak putus asa, kesemuanya saling berkait sebagai keseluruhannya. Insyaa-Allah, mesejnya dapat dihayati dan difahami semua," jelasnya lagi.
Tiket 'showcase' 'The A.I.S.H.A Experience' boleh dibeli secara dalam talian bermula pukul 12.00 tengah hari pada 31 Julai ini.