fb fb fb fb fb

Squid Game lonjak keuntungan Netflix

FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Musim terakhir drama Korea terkenal, Squid Game, menjadi antara penyumbang utama kepada prestasi kukuh Netflix bagi suku kedua tahun ini, apabila syarikat penstriman itu mencatat keuntungan melebihi jangkaan pasaran.

Menurut Netflix, musim ketiga drama berkenaan yang ditayangkan hujung Jun lalu berjaya meraih lebih 122 juta tontonan, menjadikannya siri bukan berbahasa Inggeris paling popular dalam sejarah platform itu.

Berikutan prestasi memberangsangkan itu, Netflix turut menaikkan unjuran pendapatannya untuk tahun 2025 kepada antara AS$44.8 bilion hingga AS$45.2 bilion, berbanding anggaran terdahulu sekitar AS$44.5 bilion.

Syarikat itu bagaimanapun tidak lagi mendedahkan jumlah pelanggan secara suku tahunan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pertumbuhan pendapatan serta hasil daripada perkhidmatan langganan disokong iklan yang mula diperkenalkan baru-baru ini.

Netflix turut menjangkakan pendapatan sebanyak AS$11.5 bilion bagi suku akan datang, dengan keuntungan mencecah hampir AS$3 bilion.

Beberapa musim baharu siri popular turut dijadualkan tayang dalam tempoh terdekat termasuk Wednesday pada Ogos dan episod akhir Stranger Things yang akan disiarkan bermula November hingga Disember ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE