fb fb fb fb fb

Andmesh & Ziva gegar Kota Kinabalu 9 Ogos ini

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Julai 2025 – Dua bintang popular dari Indonesia, Andmesh Kamaleng dan Ziva Magnolya bakal menggegarkan pentas Sabah International Convention Centre (SICC) menerusi Konsert Festival Tentang Cinta yang dijadual berlangsung pada 9 Ogos ini.

Konsert anjuran Extreme Visionary Venture itu dijangka menjadi medan penyatuan peminat muzik dari Malaysia dan Indonesia menerusi persembahan rangkaian lagu cinta daripada barisan artis popular serantau.

Selain Andmesh dan Ziva, konsert berskala besar itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Ara Johari, Adira Suhaimi, Mary Grace serta pelantun lagu Diam, Hael Husaini.

Menurut Pengarah Urusan Extreme Visionary Venture, Julianah Ishak, penganjuran konsert ini merupakan percubaan pertama pihaknya menganjurkan acara hiburan berskala besar di Sabah.

“Sebagai Pengarah Urusan Extreme Visionary Venture, saya amat teruja kerana buat julung kali kami berjaya menganjurkan Festival Tentang Cinta dengan menghimpunkan barisan artis terkenal dari serantau yang akan menggamatkan pentas SICC pada 9 Ogos ini.

“Saya berharap konsert ini mendapat sambutan hangat daripada peminat, khususnya di Sabah dan negeri-negeri berhampiran. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan acara ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ziva Magnolya menyifatkan peluang membuat persembahan di Kota Kinabalu sebagai satu pengalaman istimewa kerana ia merupakan kunjungan pertamanya ke negeri itu.

“Ini pertama kali saya akan menyanyi di Kota Kinabalu. Ia adalah satu pengalaman yang luar biasa dan saya sangat menghargai peluang yang diberikan oleh Festival Tentang Cinta.
Jangan lupa beli tiket dan jumpa kami semua di SICC, 9 Ogos nanti,” katanya.

Bagi Andmesh Kamaleng pula, festival ini membuka ruang untuk merapatkan hubungan sesama peminat serantau menerusi muzik.

“Saya sangat senang kerana dapat menyatukan kekeluargaan ini melalui muzik. Kami akan beri persembahan terbaik dari segi susunan muzik, semangat dan pengalaman. Ini kali kedua saya ke Kota Kinabalu, semoga tidak mengecewakan,” katanya.

Konsert ini turut mendapat sokongan Tourism Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa sektor pelancongan domestik menerusi penganjuran acara berskala besar.

Tiket Festival Tentang Cinta dijual pada harga bermula RM158 hingga RM988 mengikut kategori dan boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman rasmi: www.ticket2u.com.my.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD