FOTO AFP
LONDON, 23 Februari - Chelsea membawa bekalan dua gol menjelang aksi timbal balik selepas menewaskan wakil Perancis, Lille, 2-0 di Stamford Bridge pada saingan bola sepak pusingan 16 terakhir, Liga Juara-Juara Eropah.
Kai Harvertz menanduk masuk gol pertama seawal minit ke-8 sebelum Christian Pulisic menggandakan jaringan pada babak kedua.
Penyandang juara itu dijangka melengkapkan kemaraan mereka ke suku akhir apabila bertandang ke Perancis untuk perlawanan kedua pada 16 Mac depan.
Bergelut di tempat ke-11 dalam saingan Ligue 1 musim ini, Lille muncul dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah buat kali kedua dan yang pertama sejak tahun 2007.
Dalam satu lagi aksi, Juventus sekadar seri satu sama dengan Villarreal di tempat lawan.
Gol Juventus hadir seawal minit pertama menerusi penyerang, Dusan Vlahovic.
Villarreal kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi Dani Parejo.