fb fb fb fb fb

'Terus Bersinar' single terbaharu Hafiz Suip

Hafiz Suip

PUCHONG, SELANGOR, 20 November- Penyanyi, Hafiz Suip muncul dengan single terbaharu berjudul 'Terus Bersinar' ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip berkata, lagu terbitan syarikat rakaman Nova Music itu berkisarkan kasih sayang antara ibu bapa dan anak.

Dia turut mengakui 'Terus Bersinar' membawa makna yang mendalam buat dirinya.

"Saya pasang (demo) lagu ini dalam radio kereta, dalam perjalanan tu, tiba-tiba saya menangis sebab liriknya memang menyentuh hati.

"Ada jugak saya dengar komen-komen orang yang kata lagu ini sesuai dengan (situasi) Gaza.

"Sebenarnya, yang membuat lagu ini bermakna adalah liriknya, liriknya begitu hebat," kata Hafiz kepada pemberita selepas melancarkan single berkenaan di sini.

Hafiz. 33, yang sudah berkecimpung dalam bidang seni selama hampir 15 tahun berkata, dia bukan sahaja jatuh cinta dengan lirik lagu tersebut, malah melodinya turut menenangkan halwa telinga.

Ditanya mengenai keinginan untuk melancarkan single duet bersama penyanyi lain, Hafiz berkongsi keinginan untuk berduet bersama Dayang Nurfaizah.

SITI AISHAH BINTI MD ISA