fb fb fb fb fb

Konsert diteruskan, penganjur jamin Coldplay patuh undang-undang Malaysia - KKD

Kumpulan Coldplay

KUALA LUMPUR, 22 November- Pihak penganjur konsert Coldplay telah memberi jaminan kumpulan itu akan memathui peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia.

Menerusi satu kenyataan, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memaklumkan kumpulan itu juga akan patuh kepada perkara yang telah digariskan dalam Garis Panduan PUSPAL (GPP).

"Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) telah meluluskan permohonan persembahan Konsert “Coldplay: Music of the Spheres World Tour” pada 13 Oktober 2023.

"Pihak penganjur konsert Coldplay telah memberi jaminan bahawa kumpulan itu akan mematuhi perkara-perkara yang telah digariskan dalam Garis Panduan PUSPAL (GPP) serta peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia,"menurut kenyataan tersebut.

KKD turut memaklumkan, berhubung dengan perkara yang diutarakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan penganjuran konsert tersebut, ia hanyalah berupa pandangan dan bukannya fatwa.

"Sehubungan dengan itu, Konsert “Coldplay: Music of the Spheres World Tour” akan diteruskan pada 22 November 2023 (malam ini) di Stadium Nasional Bukit Jalil,"menurut kenyataan KKD.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE