KUALA LUMPUR, 22 Jun - Sempena ulang tahunnya yang ke-30, Indah Water Konsortium, (IWK) mempersembahkan teater komuniti amal bertajuk 'Najis Jadi Teman' di Dewan Merbau, IWK Eco Park @ Pantai Dalam, di sini malam tadi.
Pementasan teater itu buat julung kalinya bertujuan memupuk kesedaran awam mengenai kepentingan pengurusan kumbahan yang cekap.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata pementasan selama satu jam itu merupakan hasil kerjasama Wayang Kitchen dan Yayasan Chow Kit, (YCK) yang mengetengahkan kepentingan sanitasi yang betul untuk kesihatan awam dan pemeliharaan alam sekitar.
Pertunjukan membawa penonton menelusuri cabaran serta peranan penting pekerja kumbahan, yang tanpa lelah berkorban dalam sektor pekerjaan kotor, berbahaya serta sukar, menerusi gabungan unik teater, tarian dan muzik
“Kebanyakan kerja-kerja kami di IWK beroperasi di belakang tabir, dan sering tidak disedari. Namun ia amat penting dalam pemeliharaan kesihatan awam dan alam sekitar.
“Dalam meraikan ulang tahun ke-30, kami teruja untuk menunjukkan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat secara amnya melalui kolaborasi bermakna dan kreatif seperti teater amal ini,” katanya pada malam pembukaan teater, malam tadi.
Diarahkan oleh pakar persembahan teater Razif Hashim, ‘Najis Jadi Teman’ menampilkan bakat terbaik negara seperti penyanyi dan juga penulis lagu iaitu Atilia Haron, aktor Phraveen Arikiah serta Alfred Loh sebagai pelakon utama yang membawakan watak Pengurus-Pengurus Loji IWK.
Katanya, hasil jualan tiket pementasan itu akan disalur bagi menyokong usaha penting YCK yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu kanak-kanak serta remaja berisiko di ibu negara.