KUALA LUMPUR, 24 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai untuk mengikuti dan menghayati pementasan teater ‘Hadji Murat’ bermula 26 hingga 29 Jun ini.
Beliau berkata, teater itu berdasarkan novella penting dan karya terakhir sasterawan dan novelis ulung Rusia Leo Tolstoy.
"Karya ini ternyata mengesankan tatkala ia menekankan betapa perang dan kekuasaan yang ganas hanya melahirkan ramai watak yang jahat dan khianat.
"Tolstoy berjaya mewujudkan rasa dan sikap yang simpatetik melalui karyanya itu, apalagi kepada seorang pejuang dan wira umat Islam yakni Hadji Murat, terutamanya di saat dunia dirundung berat akan kezaliman dan budaya politik pemerasan (‘politics of dispossession’) yang kini berterusan di Palestin," katanya menerusi hantaran Facebook.
Anwar memberitahu, Tolstoy turut terkenal dengan karya besarnya yang lain seperti ‘War and Peace’ dan ‘Anna Karenina’ yang ditulis sekitar 1896-1904.
"Pengkritik kesusasteraan Amerika Harold Bloom tatkala membaca ‘Hadji Murat’ pernah menukilkan, '…my personal touchstone for the sublime of prose fiction, to me the best story in the world, or at least the best that I have ever read.'
Perdana Menteri berkata novella itu yang mengisahkan penaklukan empayar Rusia ke atas warga Muslim di wilayah Dagestan, Kaukasus Utara, dibawanya ketika mengajar di Amerika Syarikat sebelum ini, di saat ramai ketika itu membicarakan soal Islamofobia dan terorisme pasca serangan 9/11.
“Haji Murat adalah sosok yang dekat dan paling kanan kepada Imam Shamil, ketua pejuang dan watak penting di tampuk kepemimpinan wilayah tersebut.
Mereka berjuang seiring melawan kerakusan empayar Rusia yang dikepalai Tsar Nicholas I, dan berlakunya pertembungan antara pejuang dan penjajah kerana ingin membebaskan keluarga tercinta.
Watak Haji Murat adalah watak yang tersepit di antara dua kekuasaan yang zalim, dan bertindak semata dalam menyelamatkan keluarganya,” katanya.
Teater ‘Hadji Murat’ akan dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP), di sini.