fb fb fb fb fb

Rocky Din bakal rakam semula lagu 'Marilah Mengundi', diberi nafas baharu - Fahmi

Foto RTM

SEBERANG JAYA, 22 Jun- Lagu yang mencipta fenomena ketika musim mengundi, “Marilah Mengundi”, nyanyian Mohd Hashim Sharif atau lebih dikenali dengan Rocky Din akan dirakam semula oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan meminta RTM menjemput beliau bagi rakaman semula  lagu itu dengan diberi nafas baharu.

"Saya selepas ini akan minta pihak RTM menjemput beliau merakam semula lagu nyanyian beliau pada tahun 1977, sempena mengundi. Harapan saya agar generasi baru, para pengundi dalam kalangan anak-anak muda akan dapat mendengar olahan baharu, ini merupakan lagu yang terkenal," kata Fahmi kepada pemberita selepas membuat Ziarah  Seni MADANI FINAS di sebuah restoran, di sini.

Rocky Din, 75 tahun turut menyambut baik usaha Fahmi untuk merakamkan semula lagu beliau dan gembira dengan inisiatif tersebut.

"Seronok dapat bantuan daripada FINAS dan YB Fahmi. Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada yang datang pada hari ini memberi bantuan kepada saya. Saya menyanyi tiada masalah. Saya memang penyanyi kalau suruh menyanyi memang seronok lagu itu dalam minda saya," kata Rocky Din kepada pemberita.

Sementara itu, isteri beliau, Haslina, 65 tahun turut menyatakan sumbangan yang diterima mereka sekeluarga sedikit sebanyak memberi nafas buat suaminya bagi menjalani kehidupan selepas menghidap strok.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM