fb fb fb fb fb

Sitkom Apartmen Putra bakal menemui penonton hujung tahun ini

Antara barisan pelakon baharu Apartment Putra

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Apartmen Putra musim baharu bakal menemui penonton bermula hujung tahun ini.

Tayangan sitkom menerusi Unit Drama RTM Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu memasuki musim keenam dan ketujuh menampilkan karya lebih segar menerusi barisan pelakon hebat disuntik dengan elemen yang sarat dengan mesej-mesej tertentu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) RTM, Nasaruddin Abdul Muttalib, setiap karya yang dihasilkan mengetengahkan tema yang dekat dengan hati penonton dalam menyampaikan mesej positif kepada masyarakat.

"Kita dapat menyampaikan mesej-mesej kerajaan secara santai dan dalam jenaka yang terselit mesej-mesej seperti pemerkasaan wanita dalam usaha kerajaan dalam mempromosi usahawan-usahawan muda.

"...dan juga berbagai kempen termasuklah memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran sitkom Apartmen Putra Musim Baharu di Angkasapuri Kota Media di ibu negara.

Menerusi sitkom itu RTM dapat menyampaikan maklumat kepada orang ramai di samping mengetengahkan isu-isu semasa.

Sitkom arahan Zarool Fahmee Khairuddin dan Rohayu A.W mengekalkan pelakon teraju utama iaitu Atu Zero, Eric Fuzi, dan Noorkhiriah, selain menyaksikan kemunculan watak-watak baharu seperti Mamak Puteh, Jiggy Masin, Dewa Sapri, Zulin Aziz, Elly Arifin, dan Kenchana Devi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI