KUALA LUMPUR, 28 Jun- Lebih 150 penggiat seni, rakan artis, wartawan dan ahli kariah masjid menghadiri majlis bacaan Yasin dan Tahlil buat insan seni yang telah meninggal dunia di Surau Ibadurrahman, Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Lembah Pantai, di sini malam tadi
Majlis anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sempena Majlis Semarak Zulhijah itu diadakan dengan kerjasama surau berkenaan bermula 7 malam.
Jurucakap majlis, Akhmarulizam Ahmad berkata antara insan seni yang telah meninggal dunia dan didoakan dalam majlis tahlil itu ialah wartawan hiburan terkenal Allahyarham Kamal Huzaini Kamaludin serta artis veteran Datuk Hail Amir, Pyan Habib dan Jaafar Onn.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Niq Ehsan Malaysia berkata majlis tahlil ini juga untuk penduduk PPR Kampung Limau.
Sementara itu, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata Surau Ibadurrahman dipilih sebagai lokasi majlis kerana ia merupakan masjid kesukaan Allahyarham Kamal Huzaini atau mesra dipanggil Huzz yang meninggal dunia pada 8 Jun lepas.
“Kami pernah buat majlis sempena Zulhijah sebelum ini, tetapi dah lama tidak buat,” katanya sambil menambah majlis bacaan Yasin dan Tahlil itu diadakan sesuai pada waktunya berikutan terdapat beberapa rakan artis telah meninggal dunia baru-baru ini.
Freddie berkata mengikut perancangan awal dalam satu atau dua minggu ini Karyawan juga akan mengadakan kunjungan ke rumah artis yang susah antaranya seorang artis bernama Iqbal yang mempunyai masalah penglihatan dan akan dibantu.
Penyanyi legenda, Datuk Khatijah Ibrahim pula berkata kehadiran penggiat seni pada majlis bacaan Yasin dan Tahlil itu sangat menggalakkan dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah meluangkan masa.
“Kita akan buat banyak lagi kerja amal untuk semua rakan seperjuangan termasuk dalam penulisan, jurukamera, jurusolek artis dan lain-lain,” katanya yang turut memberi sumbangan kepada pihak Surau Ibadurrahman malam ini.
Mengenai Allahyarham Huzz, Khatijah yang membahasakan dirinya ibu berkata arwah gemar datang ke Surau Ibadurrahman.
“Ia satu nostalgia buat kami dalam mengingati beliau, seorang wartawan yang sangat berhemah. Selama menjadi artis, saya selesa dengan arwah dan senang hati apabila ditemu ramah oleh beliau,” katanya.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan solat maghrib disusuli dengan solat hajat dan bacaan Yasin serta Tahlil bagi memperingati insan seni yang meninggal dunia.
Hadir sama Timbalan Presiden Karyawan Radhi Khalid. -BERNAMA