fb fb fb fb fb

Istimewa sempena Maal Hijrah, ‘Lumping Putih’ di TV1 6 Julai 2024

Babak dalam drama ini menggabungkan pelakon lama dan baharu/RTM

KUALA LUMPUR, 28 Jun –Keberanian mengetengahkan isu dianggap berat berkaitan unsur khurafat dalam tradisi kuda kepang digalas Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan menerbitkan telefilem terbaharu bertajuk ‘Lumping Putih’.

Drama arahan Epo Jenon, Penerbit di Unit Drama TV RTM itu disiarkan dalam slot Panggung RTM pada 6 Julai ini bersempena sambutan Maal Hijrah.

‘Lumping Putih’ yang merujuk kepada kuda kepang putih menonjolkan realiti tarian tradisi masyarakat Johor, khususnya masyarakat Melayu keturunan Jawa.

Cerita berkisar tentang sebuah keluarga, penerus warisan tarian kuda kepang. Mim Lazim, iaitu ayah kepada Alif Narbawi, Lam Nasyrah dan Mim Iqlab, mahu menurunkan warisan kuda kepang kepada anak sulung Alif Narbawi.

Namun Mim Iqlab tidak bersetuju kerana ayahnya mahu mengekalkan kuda kepang tradisional yang ada ritual pembuka dan penutup.

Tatkala itu, Megat iaitu orang kepercayaan Mim Lazim terus menagih janji menjadikannya pewaris penerus generasi kuda kepang kumpulan mereka.


280624 LUMPING 1
Babak lakonan Amalina Arham sebagai Mim Iqlab/RTM

Adakah janji ditunaikan Mim Lazim atau sebagai bapa menerima cadangan anaknya Mim Iqlab yang mahu memberi nafas baharu kepada tradisi lama tanpa melibatkan khurafat atau unsur pemujaan.

Telefilem yang menjalani penggambaran di Muar dan Batu Pahat, Johor itu menampilkan gandingan pelakon berpengalaman dan baharu termasuklah Zaidi Omar, Azizah Mahzan, Soffi Jikan, Akmal Ahmad, Amalina Arham, Hazrat Muaz, Adam Ikmal, Ruzaidi Abd Rahman dan Asmidar.

‘Lumping Putih’ akan menemui penonton pada 6 Julai ini, pukul 10.00 malam di TV1 juga melalui penstriman RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my). Di sebalik tabir ‘Lumping Putih’ pula akan disiarkan pada hari dan saluran sama, pukul 3.30 petang.


280624 LUMPING 2Pengarah Epo Jenon di lokasi penggambaran/RTM

MAT YUNUS BIN SABRI