KUALA LUMPUR, 28 Jun- Indonesian Music Festival akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di ibu negara pada 24 Ogos depan.
Konsert itu menampilkan gabungan band Kotak, Ifan Seventeen dan Marcello Tahitoe yang akan mempersembahkan nyanyian mereka secara langsung yang bermula pukul 7.00 malam.
Unusual Entertainment dalam satu kenyataan berkata, gabungan kumpulan muzik rock Indonesia Kotak, nyanyian solo Ifan Seventeen dan vokalis kumpulan Dewa 19 Marcello Tahitoe pastinya akan menghiburkan peminat di Malaysia.
Band Kotak, akan menampilkan ahlinya terdiri daripada Tantri (Tantri Syalindri Ichlasari) sebagai vokalis, Chua (Swasti Sabdastantri) sebagai pemain bass dan Cella (Mario Marcella) pula pemain gitar utama.
Sementara itu, Ifan Seventeen, 41, memilih untuk bergerak solo dalam perjalanan karier seninya setelah kecelakaan yang menimpa pada tahun 2018.
"Ifan dipastikan akan menghibur para penggemarnya dengan lagu-lagu popular Seventeen lainnya seperti 'Cinta Jangan Disembunyikan', 'Akujira', 'Menunggu Kamu', 'Jaga Selalu Hatimu', 'Sumpah Ku Mencintaimu', dan 'Hal Terindah'," kata kenyataan itu.
Manakala kemunculan Marcello Tahitoe, 41 yang terkenal dengan imej rock, pasti memberikan aura tersendiri ketika konsert berkenaan.
Tiket untuk konsert berkenaan akan dijual bermula 1 Julai pada harga RM488 (VIP), RM388 (CAT 1), RM338 (CAT 2), RM288 (CAT 3) dan RM188 (CAT 4) menerusi laman sesawang https://my.bookmyshow.com/.