fb fb fb fb fb

Taylor Swift lancar album ke-12 “The Life of a Showgirl” Jumaat ini

Taylor Swift / AFP

LOS ANGELES, 1 Oktober - Pemenang 14 Anugerah Grammy, Taylor Swift bakal melancarkan album ke-12 berjudul The Life of a Showgirl pada Jumaat ini.

Album yang diinspirasikan daripada pengalaman Eras Tour itu menandakan kembalinya Swift ke aliran pop selepas album sebelumnya yang lebih gelap, The Tortured Poets Department.

Mengandungi 12 lagu, album tersebut turut menampilkan kerjasama dengan penyanyi Sabrina Carpenter serta penerbit terkenal Max Martin dan Shellback.

Setakat ini, The Life of a Showgirl mencatat rekod sebagai album paling banyak disimpan awal di Spotify, mengatasi rekod album Swift tahun lalu.

Bersempena pelancaran, pawagam di puluhan negara akan menayangkan acara khas selama tiga hari termasuk video muzik, dokumentari dan sesi karaoke bersama peminat.

Strategi pemasaran unik Swift termasuk penggunaan telur easter terus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat setianya, Swifties.

Walau sering dipuji kerana kebijaksanaan pemasarannya, pakar berpendapat kekuatan utama Swift kekal pada keupayaannya menulis lagu berkualiti secara konsisten.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE