fb fb fb fb fb

Superman catat kutipan AS$217 juta pada tayangan pembukaan global

Foto REUTERS

LOS ANGELES, 14 Julai – Filem baharu Superman terbitan Warner Bros mencatat kutipan memberangsangkan dengan anggaran AS$122 juta di Amerika Syarikat dan Kanada pada hujung minggu lalu.

Kutipan itu sekali gus menjadikannya antara tiga filem mencatat kutipan pada hari pembukaan tertinggi domestik bagi tahun 2025 setakat ini.

Filem yang menampilkan David Corenswet sebagai 'Man of Steel' itu turut meraih AS$95 juta di pasaran antarabangsa, menjadikan kutipan keseluruhan global mencecah AS$217 juta setakat Ahad, menurut Warner Bros.

Sebagai naskhah reboot francais ikonik Superman yang pertama kali muncul dalam komik pada tahun 1938, prestasi filem ini dianggap penting untuk masa depan Warner Bros dan DC Studios.

Walaupun DC memiliki watak-watak terkenal seperti Batman dan Wonder Woman, ia masih belum dapat menyaingi kejayaan box office francais Marvel milik Walt Disney.

Filem arahan James Gunn yang juga penulis skrip dan terkenal menerusi trilogi Guardians of the Galaxy untuk Marvel dilihat sebagai permulaan baharu buat DC.

Gunn kini merupakan Ketua Bersama DC Studios bersama penerbit Peter Safran sejak 2022, dan dilihat sebagai individu yang mampu membawa kestabilan kepada francais filem dan TV DC.

Filem itu juga menjadi penanda aras dan bakal membuka laluan kepada produksi seterusnya seperti Supergirl yang dijadualkan tayangannya pada tahun depan, serta filem baharu Batman dan Wonder Woman.

"Visi DC kini jelas, momentum juga nyata, dan saya sangat teruja dengan apa yang bakal datang," kata Ketua Pegawai Eksekutif Warner Bros Discovery, David Zaslav.

Penganalisis industri Jeff Bock menyifatkan kutipan domestik itu sebagai “cemerlang”, namun menyuarakan kebimbangan terhadap prestasi antarabangsa yang dianggap kurang memberangsangkan memandangkan bajet pembikinannya mencecah AS$225 juta.

Presiden pengedaran global Warner Bros, Jeff Goldstein, bagaimanapun menyatakan pihak studio berpuas hati dengan sambutan tempatan dan menyifatkan sambutan antarabangsa berada dalam jangkaan.

“Kami sudah jangka filem ini akan lebih kuat di AS berbanding pasaran antarabangsa.

"Superman sememangnya watak yang sangat berteraskan identiti Amerika,” jelasnya.

Filem ini turut mendapat pujian pengkritik dengan 82% ulasan di laman Rotten Tomatoes memberikan rating positif.

Selepas kegagalan beberapa filem tahun lalu seperti Furiosa dan Joker: Folie à Deux, Warner Bros berjaya meraih enam pembukaan nombor satu sepanjang tahun 2025, termasuk kejayaan besar menerusi Minecraft: The Movie yang mencatat AS$162.8 juta dalam tempoh tiga hari tayangan.

Antara judul lain yang mencatat kejayaan termasuk Sinners, Final Destination: Bloodlines dan F1.

Namun begitu, filem Superman turut menjadi sasaran segelintir pengulas konservatif selepas Gunn menyatakan naskhah ini juga merupakan sebuah "kisah imigran".

Bekas Presiden AS, Donald Trump malah memuat naik meme menggantikan wajah Corenswet dengan wajahnya pada poster Superman.

Namun para pelakon dan pengarah menafikan adanya mesej politik.

“Ia hanya sebuah filem, kawan-kawan,” kata pelakon Nathan Fillion yang membawakan watak Green Lantern, kepada Variety di tayangan perdana filem itu di Los Angeles.

Setakat ini, jumlah jualan tiket bagi semua filem di Amerika Syarikat dan Kanada meningkat 15% berbanding tahun 2024, namun masih 24% lebih rendah berbanding tahap prapandemik pada 2019. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD