fb fb fb fb fb

Ungu raikan 29 tahun dengan persembahan orkestra istimewa

Konsert 29th Anniversary - Symphony of Ungu di ibu negara

KUALA LUMPUR, 13 Julai - Kumpulan rock popular Indonesia, Ungu, meraikan ulang tahun ke-29 penubuhan mereka dengan sebuah konsert istimewa bertajuk “29th Anniversary - Symphony of Ungu” yang berlangsung meriah di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) .

Konsert berdurasi dua jam itu menyaksikan kehadiran lebih 2,000 penonton yang terpukau dengan kelainan yang ditampilkan Ungu menerusi susunan muzik berkonsepkan orkestra, di bawah pimpinan pengarah muzik, J.P. Denny.

Pendekatan ini memberi nafas baharu kepada karya-karya ikonik mereka.

Segmen pembukaan diserikan penyanyi jemputan Gretchen Quirina yang menyampaikan lagu Mangu, Sampai Menutup Mata dan Aku Bodoh. Sementara itu, penyanyi Malaysia Ayda Jebat turut tampil berduet bersama Ungu menerusi lagu Bismillah Cinta.

Lebih 16 lagu dipersembahkan termasuk Andai Ku Tahu, Berjanjilah, Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Hampa Hatiku dan Seperti Mati Lampu. Ungu turut mendedikasikan lagu Bila Tiba buat sahabat mereka, Gatot Kies Afierianto yang meninggal dunia Jun lalu.

Kemeriahan konsert turut diperkukuh dengan interaksi mesra dan jenaka bersahaja vokalis utama, Pasha, yang menceriakan suasana serta mengukuhkan hubungan erat kumpulan itu dengan peminat setia mereka di Malaysia.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI