KUALA LUMPUR, 15 Julai - Penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), tidak boleh dipisahkan dengan karya-karya bernuansa cinta, maka tidak hairan apabila penganjuran konsert terkini BCL diinspirasi daripada pelbagai ‘aroma’ cinta yang begitu dekat dengan penghibur ini.
'BCL: Eternal Love - Timeless Romance' menjanjikan suatu pengalaman baharu buat para peminat. Konsert ini dianjurkan oleh Pulse Project Asia, berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 September depan.
Konsert tersebut bakal membawa peminat menyusuri perjalanan panjang BCL dalam dunia hiburan. Penonton akan dibawa menyusuri perjalanan muzik BCL yang menyentuh hati melalui lagu-lagu cinta abadi, balada penuh makna dan penceritaan intim.
Antara lagu-lagu yang akan akan nyanyikan seperti Cinta Sejati, Cinta Pertama (Sunny), Karena Ku Cinta Kau, 12 Tahun Terindah hinggalah single terkininya Memulai Kembali. Semuanya akan dipersembahkan dengan tata cahaya bersama produksi bertaraf dunia.
Selain senarai lagu dan susunan muzik yang berbeza, BCL turut menyifatkan dirinya kini lebih dewasa dan berevolusi dari segi emosi dan kreativiti.
"Setiap kali saya mengadakan konsert, ia merupakan satu bentuk penceritaan peribadi. Saya sering berkongsi tentang kehidupan. Namun, kehidupan sentiasa bergerak ke hadapan. Masih ada bahagian-bahagian dalam hidup yang belum sempat saya sampaikan, dan kali ini saya akan mengungkapkannya melalui rangkaian lagu-lagu dalam konsert ini," kata BCL ketika ditemui pemberita.
Lebih istimewa, konsert ini akan menghadirkan penyanyi dengan vokal yang mantap, Jaclyn Victor, dan pemain violin profesional, Dennis Lau, sebagai artis undangan istimewa.
“BCL bukan seorang penghibur yang asing dengan peminat apalagi di bumi Malaysia. Beliau selalu disambut hangat oleh peminat, di sini.
Kedatangan BCL ke Kuala Lumpur akan terus membuat ‘aroma-aroma’ cinta yang dibawa menerusi karya-karyanya yang terus subur,” kata Muhammad Anuar Zaini dari Pulse Project Asia.