KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER - Suntikan lebih RM100 juta untuk bidang seni dalam Belanjawan 2026 disambut baik penggiat industri.
Ia disifatkan memperkasa bakat tempatan dan memperluas pengaruh Malaysia dalam pasaran kreatif serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berpandangan peruntukan itu langkah strategik untuk memartabatkan karya tempatan.
"RM10 juta diperuntukkan khusus kepada pembangunan filem berunsur kenegaraan, yang bukan sahaja mengangkat nilai perpaduan dan jati diri nasional tetapi turut menyasarkan pasaran serantau seperti ASEAN," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib
Tambahnya, dana yang diumumkan bukan hanya menggalakkan penerbitan filem berkualiti tinggi, malah dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan rantaian ekonomi industri perfileman tempatan.
"Ia menggalakkan anak seni untuk terus menghasilkan karya berimpak tinggi yang mampu dieksport ke luar negara," ujarnya lagi.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail berkata pengagihan itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap industri kreatif sebagai medium strategik pembinaan imej negara.
"Kandungan kenegaraan amat penting dalam membina identiti nasional dan menyemai semangat patriotisme melalui karya seni yang bermutu," katanya.
Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan UUM, Profesor Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail
Pada masa sama, peruntukan RM10 juta bagi penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa dijangka merancakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Bagi Pensyarah Komunikasi Media Baharu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Safwan Anwar Aziz pula, dana RM20 juta untuk pembangunan industri animasi dan permainan digital tempatan disifatkan memperkasa ekosistem kreatif negara.
Pensyarah UiTM, Safwan Anwar Aziz
“Suntikan ini bukan sahaja membantu menghasilkan kandungan animasi dan permainan digital berkualiti tinggi, tetapi juga menyokong studio kecil, syarikat pemula dan bakat baharu untuk menembusi pasaran antarabangsa,” jelasnya.
“Dengan dana ini, aspek penyelidikan, praproduksi, latihan teknikal, pemasaran serta penyertaan ke pameran luar negara boleh diperkukuh. Institusi pendidikan turut boleh menubuhkan inkubator dan studio latihan bagi melahirkan tenaga mahir,” tambahnya.