LOS ANGELES, 12 Oktober - Pelakon legenda Hollywood dan pemenang Anugerah Oscar, Diane Keaton, yang terkenal menerusi lakonannya dalam filem Annie Hall (1977) dan siri filem The Godfather, telah meninggal dunia pada usia 79 tahun.
Butiran lanjut mengenai kematiannya belum didedahkan, namun jurucakap keluarga memberitahu majalah People bahawa Keaton meninggal dunia pada Sabtu di California.
Keaton merupakan rakan kolaborasi rapat pengarah Woody Allen, dan terkenal dengan watak utamanya dalam Annie Hall sebagai kekasih kepada pelawak Alvy Singer yang dilakonkan oleh Allen.
Filem tersebut turut meraih kemenangan besar di Anugerah Oscar termasuk bagi kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Asal Terbaik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Keaton sebagai antara pelakon wanita terbaik Hollywood serta ikon yang mempunyai gaya yang unik.
Sepanjang kerjayanya, Keaton membintangi lapan filem arahan Allen, termasuk Play It Again, Sam (1972), Manhattan (1979) dan Manhattan Murder Mystery (1993).
Dalam siri filem The Godfather, Keaton melakonkan watak Kay Adams, kekasih dan kemudian isteri kepada watak Michael Corleone yang dibawakan oleh Al Pacino.
Keaton turut dikenang menerusi lakonannya sebagai isteri kepada Steve Martin dalam filem komedi Father of the Bride (1991), yang memaparkan pasangan suami isteri cemas dan penyayang dalam merancang majlis perkahwinan anak mereka.
Pada usia lebih matang, Keaton terus menyerlah dengan dua filem bertemakan wanita berusia iaitu Book Club (2018) yang membawa mesej bahawa cinta tidak mengenal usia, serta Poms (2019) yang mengisahkan seorang wanita menghidap penyakit terminal yang menubuhkan pasukan sorak di rumah orang tua.
Pemenang Anugerah BAFTA dan Golden Globe itu turut menerima tiga lagi pencalonan Oscar untuk Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Reds, Marvin’s Room dan Something’s Gotta Give.
Pada 2017, beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada American Film Institute yang menyifatkannya sebagai “tidak konvensional, berfikiran bebas dan di luar kebiasaan.”
Rakan pelakon Andie MacDowell yang pernah bekerjasama dengannya dalam filem Unstrung Hero (1995) arahan Keaton, menyifatkan beliau sebagai seorang wanita luar biasa.
“Saya rasa sangat bertuah dapat meluangkan masa bersamanya. Kehilangannya amat dirasai,” katanya.
Sementara itu, Bette Midler iaitu rakan sepasukannya dalam filem komedi The First Wives Club (1996) menyifatkan mendiang sebagai seorang yang lucu dan sangat merendah diri.
“Dia sangat lucu, benar-benar asli dan tanpa kepura-puraan. Tiada sikap bersaing seperti yang dijangka daripada bintang besar sepertinya. Apa yang anda lihat, itulah dirinya… oh, la, lala!", tulis Midler di Instagramnya.
Goldie Hawn, yang turut membintangi filem itu, berkata Keaton “meninggalkan kita dengan jejak debu bintang yang berkilau penuh cahaya dan kenangan indah yang tiada tandingan", jelasnya.
Dilahirkan sebagai Diane Hall pada 5 Januari 1946 di Los Angeles, beliau pernah menjalinkan hubungan dengan Allen, Pacino dan Warren Beatty, namun tidak pernah berkahwin.
Beliau meninggalkan dua orang anak, Dexter dan Duke. - AFP