fb fb fb fb fb

Konsert Persahabatan ASEAN himpunkan keindahan seni, budaya serantau

Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV RTM, Nasrul Hakim Md Noh /Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Konsert Persahabatan ASEAN atau ASEAN Friendship Concert 2025 (AFC 2025) yang bakal berlangsung pada 18 Oktober, membawa mesej persahabatan serantau melalui persembahan seni dan muzik dari negara anggota.

Konsert yang diterbitkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu kini berada di fasa akhir persiapan, melibatkan koordinasi rapi antara pelbagai agensi, termasuk pasukan teknikal RTM, dengan tumpuan khusus kepada logistik dan keselamatan acara.

AFC 2025 menghimpunkan penyertaan negara serantau yang menampilkan keunikan muzik dan budaya dalam satu penganjuran berprestij sempena Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Menurut Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV RTM, Nasrul Hakim Md Noh, tumpuan diberi terhadap keselamatan menyeluruh serta kelancaran teknikal acara.

“Tahap keselamatan yang tinggi perlu diberi keutamaan dan RTM bersedia melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Mesyuarat penyelarasan bersama agensi dan rakan strategik hari ini memberi penekanan kepada semua aspek penting dalam memastikan kejayaan konsert ini,” jelasnya selepas sesi lawatan lokasi penganjuran di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.

Mengulas lanjut, beliau mengakui penyelarasan antara sepuluh negara dengan latar budaya dan sistem kerja yang berbeza merupakan cabaran utama.

“Namun, dengan kerjasama erat bersama Asia Pacific Broadcasting Union (ABU), kita berjaya menghimpunkan artis-artis hebat dari seluruh rantau ini. Ini satu kejayaan besar dalam memperkukuh hubungan serantau menerusi seni,” katanya.

Konsert istimewa ini bakal disiarkan secara langsung di TV2 pada 18 Oktober, pukul 8.30 malam, menampilkan gabungan pelbagai genre muzik – daripada pop, tradisional hinggalah opera – mencerminkan kepelbagaian budaya negara anggota ASEAN.

Penerbit AFC 2025, Mohd Amzar Anaqi Md Roziki berkata, konsert ini menampilkan konsep "magical and majestic", selari dengan semangat persahabatan yang menjadi teras utama ASEAN.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, ia adalah simbol kebersamaan kita. Gabungan pengacara dari Malaysia dan Filipina serta barisan artis dari sepuluh negara ASEAN melambangkan hubungan erat yang terjalin sejak sekian lama,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran ini juga menjadi kesinambungan kepada peranan Malaysia dalam mempromosi integrasi budaya serantau, selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada tahun 2015.

“Melalui persembahan tarian, nyanyian serta paparan visual budaya, kita ingin menunjukkan bahawa negara-negara ASEAN bukan hanya kaya dari segi ekonomi, tetapi juga memiliki warisan seni yang sangat bernilai,” ujarnya.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN