fb fb fb fb fb

SO7 ubat rindu peminat di konsert Latihan Pestapora

Antara lagu hit Sheila On 7 adalah Sephia, Dan, Melompat Lebih Tinggi, Bila Kau Tak Disampingku, Berhenti Berharap, Memori Baik dan banyak lagi.

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Kumpulan muzik legenda Indonesia, Sheila On 7 (SO7) memeriahkan malam minggu di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila hadir mengubati rindu para peminat pada Latihan Pestapora Malaysia 2025, di sini pada Sabtu.

Setelah 7 tahun, SO7 kembali menggamatkan suasana menghiburkan penonton dengan 17 buah lagu hits mereka.

Antaranya Sephia, Dan, Melompat Lebih Tinggi, Bila Kau Tak Disampingku, Berhenti Berharap, Memori Baik dan banyak lagi menerima sambutan hangat sepanjang 90 minit persembahan mereka.

Peminat jelas hanyut dengan dendangan lagu-lagu popular SO7 yang pastinya akan menjadi memori indah buat kira-kira 30,000 penonton yang hadir.

Festival yang bermula sejak 1.30 tengah hari itu turut menampilkan persembahan daripada artis seperti Salam Muzik, Pamungkas, Kunto Aji, Dolla, Bittersweet, Barasuara X Efek Rumah Kaca, Bunkface dan Hindia.

Kemuncak konsert, Feel Koplo mengakhiri persembahan dengan gabungan lagu-lagu remix popular seperti We Found Love dan Stecu Stecu bersama kemunculan Ari Lesmana.

Latihan Pestapora Malaysia itu dilihat bukan hanya sebuah konsert, ia adalah platform memperkukuh hubungan budaya serantau menerusi muzik.

Festival ini membuka ruang untuk kolaborasi seni serta memperkenalkan karya kreatif dari kedua-dua negara kepada khalayak lebih luas.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI