fb fb fb fb fb

MGGA Ke-8 kukuhkan peranan Malaysia dalam industri filem global

Pelakon dan pengarah tersohor dari Indonesia, Reza Rahadian, menerima 'Award for Excellence in Film' atas sumbangan menerusi karya-karya berpengaruh seperti Habibie & Ainun.

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Malaysia Golden Global Awards (MGGA) edisi ke-8 menutup tirai dengan penuh gemilang dalam sebuah majlis berprestij yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Acara ini turut menjadi kemuncak kepada Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) yang telah diadakan dari 19 hingga 27 Julai 2025.

Sebanyak 62 filem dari 48 negara mengambil bahagian dalam pelbagai bahasa dan genre, menjadikan penganjuran tahun ini antara yang paling meriah dan mendapat perhatian komuniti filem antarabangsa.

Antara kategori utama yang dipertandingkan termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pengarah Baharu Terbaik serta Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Pengarah dari Tunisia, Lotfi Achour diangkat sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem 'Red Path', manakala Mahmood Bakri Chatila dipilih sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi 'To A Land Unknown'.

Filem 'All That’s Left of You' dari Palestin pula menggondol Lakon Layar Terbaik hasil karya Cherien Dabis yang mengetengahkan kisah penderitaan rakyat Gaza dengan penuh emosi dan kemanusiaan.

Legenda filem Hong Kong, Ti Lung menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya dalam industri filem Asia.

Sementara itu, pelakon dan pengarah tersohor dari Indonesia, Reza Rahadian menerima 'Award for Excellence in Film' atas sumbangan menerusi karya-karya berpengaruh seperti Habibie & Ainun, 'My Stupid Boss', 'Before', 'Now & Then', dan 'Paranoia'.

Dalam ucapannya, Reza berkata: “Saya amat terharu dan berbesar hati berada di sini, dan sepenuh hati, saya ingin ucapkan terima kasih kepada MIFFest ke-8 atas penghargaan yang sangat membanggakan ini.

"Bagi diri saya dan negara saya, saya ingin dedikasikan anugerah ini kepada semua pelakon Indonesia dan juga pelakon Malaysia yang pernah bekerja bersama saya." ujarnya.

Ketika menemui pemberita Bront Palarae, yang juga Duta MIFFest turut berkongsi pandangannya.

"Kita telah menjalin persahabatan, berkenalan dan semoga dapat saling bertukar pengalaman serta pandangan. Ini sangat baik untuk industri dalam jangka masa panjang, dan saya harap ia akan terus berkembang lebih meluas lagi pada tahun-tahun akan datang, insya-Allah," katanya.

Pasangan selebriti popular, Syafiq Kyle dan Mimi Lana turut hadir memeriahkan acara.

"Saya rasa ini adalah satu kombinasi yang menarik dan dilakukan setiap tahun pun harus diketengahkan. Saya lihat ini adalah satu saingan yang sihat untuk Southen Asia," Kata Syafiq,

Sementara itu, Mimi pula berkata: "Ini adalah satu apresiasi untuk setiap orang yang terlibat dalam industri di depan ataupun di belakang. Kita patut hargai mereka yang berusaha menjayakan acara seperti ini."

Bagi Presiden dan Pengasas MIFFest, Joanne Goh, penyertaan tahun ini sangat menggalakkan dengan penyertaan sekitar 700 filem dari seluruh dunia.

“Mengenai filem dari Malaysia, sebenarnya penyertaan tahun ini sangat banyak. Kami menerima sekitar 700 filem dari seluruh dunia, terutamanya dari Asia Tenggara termasuk Malaysia. Proses penilaian kami bermula dengan juri saringan awal, kemudian semi-final, dan akhir sekali juri utama.

"Hari ini merupakan pengumuman rasmi bagi senarai negara yang terpilih, dan Malaysia tidak tersenarai pada edisi kali ini. Saya akui, perkara ini tentunya mengecewakan. Namun begitu, ia bukanlah penamat kepada segalanya.

"Saya percaya pembikin filem Malaysia masih memiliki potensi besar dan harapan yang tinggi. Tema kami pada tahun ini, Infinity, membawa maksud ‘harapan dan kreativiti yang tiada penghujungnya," katanya.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI