KUALA LUMPUR, 27 Julai – Filem All That’s Left of You, sebuah filem Palestin merangkul dua anugerah utama; Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik pada Malaysia Golden Global Awards (MGGA) ke-8 bersempena dengan Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest).
Karya Cherien Dabis itu mengetengahkan kisah penderitaan tiga generasi rakyat negara itu yang bermula pada 1948.
Satu lagi filem yang mengangkat kisah Asia Barat, Red Path turut merangkul Pengarah Terbaik menerusi pengarah dari Tunisia Lotfi Achour.
Legenda filem Hong Kong, Ti Lung, 78 pula menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. Ia merupakan penghargaan terhadap sumbangan besar pelakon yang sinonim dengan watak aksi khususnya dalam industri filem Asia.
Manakala Mahmood Bakri Chatila dipilih sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi To A Land Unknown.
Sementara itu, pelakon dan pengarah dari Indonesia, Reza Rahadian menerima Anugerah Kecemerlangan Dalam Filem atas sumbangan menerusi karya-karya berpengaruh seperti Habibie & Ainun, My Stupid Boss, Before, Now & Then, dan Paranoia.
"Saya amat terharu dan berbesar hati berada di sini. Dan sepenuh hati, saya ingin ucapkan terima kasih kepada MIFFest atas penghargaan yang sangat membanggakan ini.
"Bagi diri saya dan Indonesia, saya ingin dedikasikan anugerah ini kepada semua pelakon Indonesia dan juga pelakon Malaysia yang pernah bekerja bersama saya,” katanya.
Menurut Presiden dan Pengasas MIFFest Joanne Goh, penyertaan kali ini menerima kira-kira 700 filem dari seluruh dunia termasuk Malaysia.
"Mengenai filem dari Malaysia, sebenarnya penyertaan tahun ini sangat banyak. Kami menerima sekitar 700 filem dari seluruh dunia, terutamanya dari Asia Tenggara termasuk Malaysia. Proses penilaian kami bermula dengan juri saringan awal, kemudian semi-final, dan akhir sekali juri utama.
"Hari ini merupakan pengumuman rasmi bagi senarai negara yang terpilih, dan Malaysia tidak tersenarai pada edisi kali ini. Saya akui, perkara ini tentunya mengecewakan. Namun begitu, ia bukanlah penamat kepada segalanya.
"Saya percaya pembikin filem Malaysia masih memiliki potensi besar dan harapan yang tinggi. Tema kami pada tahun ini, Infinity, membawa maksud ‘harapan dan kreativiti yang tiada penghujungnya’," katanya.
Duta MIFFest Bront Palarae yang ditemui pemberita berpandangan, MIFFest dilihat sebagai medium untuk penggiat seni sama-sama menghasilkan karya hebat.
"Kita telah menjalin persahabatan, berkenalan dan semoga dapat saling bertukar pengalaman serta pandangan. Ini sangat baik untuk industri dalam jangka masa panjang, dan saya harap ia akan terus berkembang lebih meluas lagi pada tahun-tahun akan datang, insya-Allah,” katanya.
Bagi pelakon popular Syafiq Kyle, acara itu merupakan platform sihat untuk penggiat industri seni dalam menghasilkan karya setanding antrabangsa.
"Saya rasa ini adalah satu kombinasi yang menarik dan dilakukan setiap tahun pun harus diketengahkan. Saya lihat ini adalah satu saingan yang sihat untuk Asia,” kata Syafiq.
Manakala Mimi Lana pula menyatakan, ia sebagai platform dalam menghargai bakat penggiat seni dan peluang menyerlahkan bakat ke peringkat lebih tinggi.
"Ini adalah satu apresiasi untuk setiap orang yang terlibat dalam industri – di depan ataupun di belakang. Kita patut hargai mereka yang berusaha menjayakan acara seperti ini,” katanya.
Sebanyak 62 filem dari 48 negara mengambil bahagian dalam pelbagai bahasa dan genre, menjadikan penganjuran tahun ini antara yang paling meriah dan mendapat perhatian komuniti filem antarabangsa.