fb fb fb fb fb

Slam, Exists satu pentas hibur ribuan peminat

Konsert “Our Journey” ini berjaya menarik lebih 5,000 peminat dari seluruh negara.

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Dua kumpulan legenda rock tanah air, Slam dan Exists, buat pertama kalinya dalam sejarah bergabung di atas satu pentas menerusi konsert mega “Our Journey” yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Konsert anjuran SS Karya Venture dengan kerjasama Republic Mokhmah Records ini berjaya menarik lebih 5,000 peminat dari seluruh negara. Menariknya, kesemua tiket telah habis terjual (sold out) dua minggu sebelum acara berlangsung, sekali gus membuktikan bahawa daya tarikan dua kumpulan ini masih utuh meski telah lebih dua dekad berada dalam industri muzik.

Konsert yang berlangsung hampir tiga jam ini menyaksikan pelbagai lapisan peminat menyanyikan bersama lagu-lagu yang pernah mendominasi carta-carta muzik tanah air sekitar era 90-an dan awal 2000-an.

Sorakan dari peminat dua kumpulan lagenda ini telah mula bergema tatkala pembukaan konsert apabila kedua-dua vokalis utama, Ezad dan Zamani, tampil bersama menyanyikan lagu Jesnita, mencipta detik istimewa.

Pada babak pertama persembahan, penonton disajikan dengan nyanyian lagu-lagu malar segar dari Exists antaranya Rahsia Pohon Cemara, Mengintai Dari Tirai Kamar, Mama Tolonglah Percaya dan Julia.

Manakala di babak kedua menggamitkan lagi kenangan penonton dengan persembahan lagu-lagu Slam seperti Gerimis Mengundang, Nur Kasih, Kembali Terjalin, Mentari Muncul Lagi dan lagu istimewa Untukmu Ibu versi Zamani.

Konsert ini turut menampilkan segmen naratif yang memperingati perjalanan seni dua kumpulan ini, dari zaman awal pembabitan mereka sehinggalah menjadi ikon muzik negara.

Rakaman visual, ucapan penghargaan serta montaj memori lama turut dipaparkan di skrin pentas sebagai simbolik kepada perjalanan mereka yang penuh warna-warni.

Peminat pelbagai peringkat usia dilihat hadir seawal pukul 6 petang bagi mendapatkan tempat terbaik. Reaksi peminat di media sosial juga menunjukkan keterujaan dan rasa syukur kerana dapat menyaksikan persembahan dua ikon dalam satu malam yang penuh bermakna.

Konsert Slam X Exists – Our Journey bukan sahaja mencipta sejarah dari sudut penyatuan dua kumpulan legenda, malah membuka lembaran baharu dalam penganjuran konsert tempatan yang berkualiti dan beremosi tinggi.

Ia menjadi bukti bahawa muzik yang lahir dari hati akan terus hidup dalam jiwa rakyat Malaysia, tanpa mengira zaman.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI